ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengakui beliau hanya ‘berpura-pura’ bersikap tenang apabila menerima serangan bertali arus daripada pihak lawan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan pada 28 Jun lalu .
Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, beliau sedikit sebanyak tetap ‘tercedera’ dan ‘berdarah’ akibat serangan tersebut yang dihalakan oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Lepas bubar DUN tipulah kalau saya katakan saya tidak rasa tertekan dengan semua serangan yang dihadapkan kepada saya sebagai ketua kerajaan. Saya buat-buat cool untuk memastikan calon-calon PN terus tenang menghadapi cabaran ini.
“Saya serap semua serangan kepada diri saya sendiri supaya semua rakan-rakan lain terselamat daripada tembakan, sipi-sipi kenalah juga kepada calon-calon lain dan sipi-sipi pergi ke negeri lain.
“(Tetapi) tipulah kalau saya tak berdarah, berdarah juga berlari merata tapi alhamdulillah kekuatan menghadapi semua ini hadir daripada Allah,” katanya ketika berucap selepas kemenangan PN pada pilihan raya negeri (PRN) di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, malam semalam.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, beliau ingin mempersembahkan ucapan menjunjung kasih kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di atas bimbingan, pandangan dan nasihat baginda kepadanya untuk terus berjuang sepanjang tiga tahun ini.
Pengerusi PN Kedah itu berkata, beliau yakin barisan kepimpinan serta rakyat negeri Kedah akan terus berada di belakangnya bagi menangkis kemungkinan serangan yang akan dilakukan oleh pimpinan Kerajaan Persekutuan.
“Semua kepimpinan PH dan BN di Kedah dan seluruh negara menghalakan meriam masing-masing ke negeri Kedah, mereka telah memilih Kedah sebagai medan tempur dalam peperangan PRN,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, beliau masih memerlukan sokongan rakyat negeri itu untuk meneruskan perjuangan termasuk beberapa kes mahkamah serta saman bernilai ratusan juta ringgit yang dihadapinya.
Tambah beliau, pihaknya turut memberi jaminan untuk tidak akan menganiaya sesiapa termasuk rakan-rakan daripada PH dan BN, malahan akan terus bersikap adil. – UTUSAN










