Masker tanah liat bantu kawal minyak, bukan kecilkan pori

Masker tanah liat bantu kawal minyak, bukan kecilkan pori

gunakan masker tanah liat secara sederhana dan mengikut keperluan kulit masing-masing. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Clay mask atau masker tanah liat semakin popular sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kulit, khususnya dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah kulit berminyak dan pori tersumbat.

Walaupun sering dipromosikan sebagai mampu mengecilkan pori-pori dan menjadikan kulit lebih bersih, manfaat sebenar produk tersebut bergantung kepada cara penggunaan serta kesesuaiannya mengikut jenis kulit.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, masker tanah liat mengandungi bahan semula jadi seperti kaolin, bentonite dan rhassoul yang bertindak sebagai bahan penyerap bagi menarik minyak berlebihan, sel kulit mati serta kotoran daripada permukaan kulit.

“Tanah liat bertindak sebagai bahan penyerap yang membantu membersihkan permukaan kulit. Ia mampu mengawal minyak, membersihkan pori-pori dan memberikan kesan kulit yang lebih matte selepas digunakan.

“Sesetengah jenis tanah liat seperti bentonite juga mempunyai sedikit sifat antimikrobial ringan yang boleh membantu menyokong penjagaan kulit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, walaupun masker tanah liat memberikan pelbagai manfaat, ia bukanlah produk yang sesuai digunakan oleh semua individu secara kerap.

Sesuai untuk kulit berminyak

Katanya, masker tanah liat paling sesuai digunakan oleh individu yang mempunyai kulit berminyak dan kombinasi kerana kedua-dua jenis kulit tersebut menghasilkan lebih banyak minyak semula jadi.

Sebaliknya, individu yang mempunyai kulit kering atau sangat sensitif perlu mengehadkan penggunaannya kerana tanah liat turut menarik kelembapan semula jadi kulit.

“Ramai menyangka tanah liat hanya menyerap minyak berlebihan, sedangkan ia juga boleh menarik sedikit kelembapan daripada permukaan kulit. Sebab itu pengguna yang mempunyai kulit kering atau sensitif perlu lebih berhati-hati,” jelasnya.

Bagi mendapatkan hasil yang optimum, wajah perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum masker tanah liat disapu dalam lapisan nipis dan sekata. Sapuan juga perlu dielakkan pada bahagian sekitar mata dan bibir.

Beliau berkata, penggunaan toner sebelum memakai masker tanah liat bukanlah satu keperluan kerana mencuci muka sudah memadai untuk kulit bersedia.

Jangan tunggu hingga merekah

Satu daripada kesilapan paling kerap dilakukan ialah membiarkan masker tanah liat sehingga benar-benar kering dan mula merekah pada permukaan kulit.

Menurut Dr. Hamidah, masker tanah liat hanya perlu dibiarkan selama 5 hingga 10 minit sebelum dibilas menggunakan air suam.

“Ramai beranggapan lagi lama dibiarkan, lagi berkesan. Sebenarnya apabila tanah liat mula merekah dan terlalu kering, ia akan menarik lebih banyak kelembapan daripada kulit dan meningkatkan risiko iritasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan penggunaan pelembap selepas memakai masker tanah liat bukan lagi pilihan, sebaliknya satu langkah penting bagi membantu memulihkan semula kelembapan kulit dan mengekalkan fungsi lapisan pelindung kulit.

Elak guna setiap hari

Dari segi kekerapan, beliau berkata, penggunaan masker tanah liat sekali atau dua kali seminggu sudah mencukupi bagi kebanyakan jenis kulit.

Bagi individu yang mempunyai kulit sangat berminyak, penggunaannya boleh ditingkatkan sehingga dua atau tiga kali seminggu.

Namun, bagi mereka yang mempunyai kulit kering atau sensitif, penggunaan sekali seminggu sudah memadai, malah ada yang tidak digalakkan menggunakannya sekiranya kulit terlalu mudah mengalami kerengsaan.

Antara kesilapan lain yang sering dilakukan ialah menggunakan masker tanah liat setiap hari, menyapu pada kawasan yang mempunyai jerawat aktif atau tidak memakai pelembap selepas membilas wajah.

Menurutnya, amalan tersebut boleh menyebabkan lapisan pelindung kulit terjejas dan menjadikan kulit semakin sensitif.

Pori tidak mengecil secara kekal

Beliau turut menjelaskan masker tanah liat tidak mampu mengecilkan saiz pori-pori secara kekal seperti yang sering didakwa.

“Saiz pori ditentukan oleh faktor genetik dan tidak boleh diubah. Apa yang berlaku ialah pori kelihatan lebih kecil kerana minyak dan kotoran telah dibersihkan daripada permukaannya.

“Jadi, kesan itu hanyalah sementara dan bukan perubahan kekal pada struktur pori,” katanya.

Bagi mereka yang ingin memilih masker tanah liat, pemilihan perlu dibuat mengikut jenis kulit.

Katanya, bentonite lebih sesuai untuk kulit berminyak kerana mempunyai keupayaan penyerapan yang lebih tinggi, manakala kaolin lebih lembut dan sesuai untuk kulit kombinasi.

Bagi kulit kering atau sensitif pula, pengguna disarankan memilih formulasi yang mengandungi bahan pelembap seperti aloe vera atau hyaluronic acid bagi mengurangkan risiko kulit menjadi terlalu kering.

Jangan guna bahan aktif serentak

Masker tanah liat juga tidak digalakkan digunakan serentak dengan produk penjagaan kulit yang mengandungi bahan aktif seperti retinol, AHA atau BHA kerana kombinasi tersebut boleh meningkatkan risiko kerengsaan.

Sebaiknya, penggunaan produk tersebut dijarakkan sekurang-kurangnya sehari.

Vitamin C pula boleh digunakan selepas penggunaan masker tanah liat dan secara umumnya lebih selamat berbanding penggunaan bersama retinol.

Bagi individu yang mempunyai masalah jerawat atau kulit sensitif, masker tanah liat masih boleh digunakan dengan langkah berjaga-jaga.

Dr. Hamidah berkata, pengguna perlu melakukan ujian tampalan terlebih dahulu, mengelakkan sapuan pada kawasan jerawat yang sedang meradang serta mengurangkan kekerapan penggunaan.

Sekiranya kulit mengalami kemerahan berpanjangan, rasa terbakar, pengelupasan melampau atau keadaan jerawat menjadi semakin teruk selepas penggunaan, pemakaian perlu dihentikan serta-merta dan mendapatkan pemeriksaan pakar.

Katanya, masker tanah liat hanyalah pelengkap kepada rutin penjagaan kulit dan bukannya rawatan utama.

Menurut beliau, asas penjagaan kulit seperti mencuci wajah, memakai pelembap serta pelindung matahari setiap hari masih merupakan langkah paling penting untuk mengekalkan kulit yang sihat.

“Gunakan masker tanah liat secara sederhana dan mengikut keperluan kulit masing-masing. Produk ini boleh membantu jika digunakan dengan betul, tetapi ia bukan penyelesaian kepada semua masalah kulit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN