PUTRAJAYA: Tiada peruntukkan undang-undang di negara ini yang membolehkan individu dibebaskan daripada hukuman hanya disebabkan keputusan pilihan raya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dakwaan bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak berasas sama sekali.
Menurut Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), sebarang keputusan pembebasan atau pengampunan tidak akan ditentukan melalui pilihan raya.
“Saya dah jawab semalam. Mana ada? Tak ada undang-undang mengatakan pilihan raya boleh membebaskan sesiapa.
“Yang berlaku hari ini ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti saya sebut semalam. Tak ada kena-mengena politik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pembukaan Program Bulan Keselamatan Negara (BKN) 2026 di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PRN Johor diadakan awal semata-mata kerana ada pihak yang mahu kembali berkuasa demi membebaskan Najib dan naratif sama turut dimainkan calon PH ketika berkempen.
Dalam perkembangan sama, Azalina turut melahirkan keyakinan terhadap jentera BN yang disifatkannya menjalankan kempen secara teratur dan tersusun di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Katanya, sebagai parti yang mempunyai pengalaman panjang dalam politik negara, BN memberi tumpuan kepada isu-isu yang menjadi keutamaan rakyat di negeri berkenaan.
“Saya tengok kempen-kempen BN di DUN-DUN memang sangat teratur. Cara kita berkempen banyak memberi fokus kepada keutamaan rakyat dalam negeri tersebut.
“Kita juga ada program keluarga angkat dari negeri-negeri lain yang banyak membantu memperkukuhkan kempen serta memberi penekanan kepada isu-isu tempatan,” katanya.
Katanya, beliau berharap keputusan pengundian pada Sabtu ini akan memihak kepada BN bagi membolehkan kerajaan negeri terus dipimpin gabungan berkenaan. – UTUSAN










