Kerajaan sedia pinda undang-undang 3R

Kerajaan sedia pinda undang-undang 3R

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia meneliti dan meminda undang-undang media berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang kini semakin membimbangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini kerana terdapat pihak yang memuat naik kandungan menghina institusi diraja, termasuk memanipulasi gambar dengan imej yang bersifat menghina dan ia menjadi satu kesalahan serius.

Katanya, isu tersebut sering menjadi agenda tetap setiap kali Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu apabila Ketua Polis Negara membentangkan laporan mengenai kes yang menyentuh institusi diraja serta perbuatan yang disifatkan menghasut berkaitan kaum dan agama.

“Negara lain mungkin tidak berdepan isu seperti ini. Tetapi di negara kita, ada pihak yang mengambil gambar raja dan memaparkannya bersama imej babi. Bagi kita, itu adalah satu kesalahan besar.

“Di Thailand juga ada undang-undang yang melindungi institusi diraja. Namun persoalannya, apakah kita mahu membiarkan fitnah, penghinaan dan perbuatan mengaibkan orang atas alasan perbezaan pandangan politik?

“Jadi, kita juga terikat dengan keputusan yang kita buat bersama. Saya setuju kalau ada yang dibangkitkan, kita boleh teliti supaya dikaji oleh majlis media yang baru ditubuhkan.

“Masalah kita ini terkait dengan 3R yang kita terima dan kalau ada cadangan untuk pinda boleh kemukakan. Saya tegaskan semula, ia menjadi isu yang sangat berat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan faktor kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 yang mencatatkan penurunan ke tangga ke-95 berbanding tangga ke-88 pada tahun lalu dan apakah langkah komprehensif Kerajaan bagi melindungi hak kebebasan media.

Sementara itu, Anwar menjelaskan bahawa tidak semua kandungan yang dipadamkan daripada platform media sosial adalah atas arahan kerajaan, sebaliknya ada yang dilakukan susulan aduan terus daripada orang ramai kepada syarikat pengendali platform berkenaan.

Beliau, pengguna boleh membuat aduan secara langsung kepada platform seperti TikTok dan Facebook, yang kemudiannya mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kandungan tersebut perlu dipadamkan.

“Kita kena ingat, pembatalan atau pemadaman ini dibuat berdasarkan aduan daripada rakyat. Rakyat boleh membuat aduan terus kepada platform seperti TikTok dan Facebook, dan mereka mempunyai kuasa untuk memadamkan kandungan. Itu bukan tindakan kerajaan.

“Mana-mana rakyat boleh berurusan secara langsung dengan platform seperti TikTok atau Facebook dan mereka mempunyai wewenang untuk memadamkan kandungan. Tidak semestinya kerajaan bersetuju dengan keputusan itu.

“Sebagai contoh, kenyataan saya yang menyatakan sokongan kepada Hamas pernah dipadamkan. Perkara seperti ini turut diambil kira dalam kategori yang dikatakan Indeks Kebebasan Media. Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan itu dan telah membuat bantahan, namun keputusan tersebut dibuat oleh platform berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN