KEMAMAN: Orang Asli suku Semaq Beri dan Jakun di Kampung Sungai Pergam, dekat sini seperti mahu menyambut hari raya ketika membuat persiapan meraikan Hari Kebangsaan Ke-66 pada 31 Ogos ini.
Tok Batinnya, Roslan Semail berkata, mereka bergotong-royong membuat persiapan itu dan merancang menganjurkan pelbagai aktiviti selama seminggu sehingga hari kemuncak pada 31 Ogos ini.
“Kami sambut Bulan Merdeka seperti mahu raya. Golongan lelaki menghiasi kawasan kampung dengan lebih 200 Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu di sekitar kampung manakala wanita pula akan memasak dan menghias dewan.
“Kami juga akan anjurkan pertandingan karaoke, acara sukan bola tampar, futsal, badminton dan sukaneka seperti menyumpit serta meniup belon,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut, semalam.
Roslan berkata, pada 31 Ogos ini, kira-kira 100 penduduk berarak lebih dua kilometer dengan membawa Jalur Gemilang dan memakai pakaian tradisional serta baju kebangsaan.
“Semua program yang dianjurkan ini kami rancang bersama penduduk kampung untuk kali pertama menyemarakkan semangat sayangkan negara dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.
“Lazimnya kami anjurkan bersama pihak jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Azman Osman, 38, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk turut sama memasang Jalur Gemilang di kampung tersebut bersama golongan muda.
“Kami hias kampung dengan Jalur Gemilang di pintu gerbang dan sepanjang laluan ke kampung ini. Masa inilah semangat kerjasama dan perpaduan antara kami terserlah,” katanya. – UTUSAN










