WASHINGTON: Orang ramai sanggup berdepan cuaca panas yang mencatat rekod bagi menghadiri sambutan besar-besaran Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) pada 4 Julai anjuran Presiden Donald Trump di Washington pada Sabtu.
Mereka berbuat demikian sebelum angin kencang, guruh dan kilat memaksa pemindahan hadirin, sekali gus mencetuskan suasana huru-hara, kemarahan serta kekeliruan.
Kumpulan yang terdiri daripada ratusan orang enggan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya mengosongkan kawasan taman National Mall.
Berhampiran pentas utama, lebih 100 orang melaungkan ‘USA! USA! dan menyanyikan lagu kebangsaan AS secara spontan sebagai tanda bantahan. Laungan itu dibuat ketika sistem pembesar suara berulang kali menggesa orang ramai meninggalkan kawasan itu demi keselamatan mereka.
Pesawat pengebom B-2 dan pesawat pejuang terus melakukan pertunjukan udara di ruang udara, menyebabkan lebih ramai hadirin enggan beredar dan terus melaungkan sorakan kerana tidak mahu melepaskan pertunjukan udara serta kemunculan Trump yang dijanjikan.
Ribuan orang berjalan perlahan menuju ke pintu keluar dengan harapan arahan pemindahan itu akan ditarik balik secepat ia diumumkan, Orang ramai turut bertikam lidah dengan anggota keselamatan.
“Apabila kilat berada dalam lingkungan kurang t4.8 kilometer dari sini, pemindahan adalah wajib,” kata seorang pegawai Perkhidmatan Rahsia AS dengan tegas kepada sebuah keluarga yang membantah arahan tersebut.
Seorang lagi pegawai menjerit kepada kumpulan yang enggan berganjak.
Ketika kilat terus sabung-menyabung di kaki langit, sistem pembesar suara tiba-tiba berbunyi dengan ungkapan: “Ujian 1, 2, 3.”
Ia mencetuskan sorakan orang ramai. Mereka berharap ia petanda kawasan itu akan dibuka semula tidak lama lagi.
Ratusan orang kemudian berlari menuruni cerun berumput di bahagian barat Monumen Washington sambil menjerit ‘serbu’ sehingga mengatasi kawalan pasukan keselamatan.
Selepas berjaya mengawal keadaan semula, pasukan keselamatan masih memerlukan lebih sejam untuk mengarahkan orang ramai meninggalkan kawasan padang yang luas itu.
Seorang lelaki yang memakai hiasan kepala tradisional Orang Asli Amerika menari ketika orang ramai sekali lagi melaungkan sorakan dan enggan berganjak.
“Tidak sama sekali! Kami tidak akan pergi!” jerit seorang lelaki, manakala yang lain melaungkan “Trump! Trump! Trump!”
Namun, akhirnya mereka tetap meninggalkan kawasan tersebut.
Pada malam Sabtu, Trump menerusi platform Truth Social miliknya mengumumkan bahawa acara itu tetap akan diteruskan, sama ada hujan atau panas, sekali gus mencetuskan sorakan hadirin yang semakin hilang sabar apabila dihalang pasukan keselamatan.
Penganjur mengambil masa kira-kira 30 minit untuk membuat persiapan semula dan terus menutup pintu masuk, menyebabkan sebahagian hadirin yang tidak sabar mula menolak penghadang logam.
Akhirnya, seorang pegawai penguat kuasa yang kelihatan seperti pegawai kanan tampil merayu supaya orang ramai tidak merempuh pintu masuk.
Selepas beberapa kali meminta mereka bertenang, beliau akhirnya menjerit ‘Mari kita mulakan’ yang disambut dengan sorakan gemuruh.
Ketika konvoi Trump mula bergerak keluar dari Rumah Putih, orang ramai mula memasuki kawasan acara walaupun hujan turun dengan lebat.
Lampu sorot di atas pentas gergasi itu bergoyang ke kiri dan kanan seperti lampu pencari dalam ribut.
Selama beberapa minit, sistem pembesar suara terus menggesa orang ramai supaya bertenang sebelum bertukar memainkan lagu-lagu popular nyanyian Elvis Presley, Michael Jackson, Queen dan beberapa artis lain pada tahap bunyi yang hampir menyamai deruman pesawat pejuang yang menggegarkan ruang udara pada awal hari itu. – AFP










