KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru mana-mana institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri agar segera melaksanakannya.
Titah baginda yang kuga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), ini adalah bagi memastikan bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti mana yang diterima oleh Institusi pendidikan Islam yang berdaftar lain.
Pada masa yang sama, baginda mencadangkan agar pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan kertas kerja untuk membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran semua institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri.
Titah baginda, ia adalah sebahagian daripada komitmen MKI dalam memperkasa pendidikan Islam dalam negara dan selain memastikan sekolah-sekolah in adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatan dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu.
“Beta berpandangan, adalah merupakan manifestasi kepercayaan Majlis Raja-Raja untuk melihat tadbir urus Institusi Pendidikan Islam di Malaysia dapat diselaraskan dengan lebih baik dan teratur.
“Dalam hubungan ini, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan institusi pendidikan berkualiti serta memenuhi aspirasi ibu bapa, masyarakat dan negara dalam melahirkan pelajar cemerlang di dunia dan di akhirat,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini. – UTUSAN










