Pusat pendidikan TVET khas Orang Asli tingkat taraf hidup

Pusat pendidikan TVET khas Orang Asli tingkat taraf hidup

FAISAL LONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan menubuhkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas buat masyarakat Orang Asli berupaya meningkatkan taraf hidup dan ekonomi golongan berkenaan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor, Faisal Long berkata, perkara tersebut akan dicapai melalui usaha menimba ilmu dan mengasah kemahiran mereka ke tahap lebih tinggi.

Menurut beliau, ketika ini, penglibatan golongan tersebut dalam bidang teknikal khususnya dalam kalangan generasi muda masih rendah.

“Kita bersetuju dengan cadangan mewujudkan institusi TVET khas untuk masyarakat Orang Asli. Sudah tentu ia akan meningkatkan semangat komuniti ini untuk terus mencari ilmu dan kemahiran, lebih lagi dalam bidang teknikal.

“Institusi khas seperti ini juga membolehkan mereka berasa lebih yakin apabila dilihat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan semua semua masyarakat. Kami amat menyokong usaha ini kerana kepelbagaian kemahiran yang boleh dipelajari mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Antara kemahiran itu termasuklah elektrik dan eletrikal, automotif, kimpalan serta binaan.

Tambah Faisal, terdapat seramai 18,475 Orang Asli menetap di 60 perkampungan di Johor dengan 49 orang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam pelbagai bidang di bawah tajaan biasiswa daripada jabatan, setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN