Program lebih 2 jam, buat aktiviti X-Break - Zaliha

Program lebih 2 jam, buat aktiviti X-Break – Zaliha

ZALIHA Mustafa menerima sijil MBOR pada Majlis Penyertaan Terbesar Acara X-Break Secara Maya di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan semua kementerian dan agensi untuk melaksanakan sesi X-Break terutamanya ketika penganjuran persidangan, seminar, bengkel, latihan atau sebarang bentuk aktiviti berkumpulan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia berikutan KKM melihat kepentingan X-Break atau aktiviti regangan ringkas itu sebagai satu inisiatif yang perlu diperkasakan di semua peringkat masyarakat.

Pada masa sama, KKM sedang dalam usaha mempromosikan X-Break ke semua komuniti seperti tempat kerja dan institusi pendidikan agar rakyat dapat membudayakan gaya hidup sihat.

“X-Break juga akan diaktifkan semula di KKM dan kita menggalakkan semua program berstruktur kementerian yang melebihi dua jam kecuali mesyuarat dan perbincangan untuk melaksanakan sesi berkenaan.

“Saya mohon semua pihak pengurusan tertinggi, ketua jabatan dan ketua sektor untuk memastikan perkara ini diambil tindakan sewajarnya dan boleh diikuti kementerian dan agensi lain,” katanya ketika berucap pada majlis pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) ‘Penyertaan Terbesar Dalam Acara X-Break Secara Virtual’ di sini hari ini.

X-Break disaran untuk dilakukan apabila seseorang duduk untuk tempoh dua jam atau lebih bagi mengelak budaya sedentari dalam kalangan rakyat selain meningkatkan imuniti badan.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, peningkatan literasi kesihatan dan perubahan tingkah laku ke arah pencegahan faktor risiko penyakit tidak berjangkit merupakan fokus utama dalam program Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI).

Menurut beliau, bagi memantapkan pelaksanaan inisiatif itu, Sambutan Minggu Sihat HePiLI dilaksanakan bermula 1 hingga 7 Julai pada setiap tahun yang mana satu himpunan secara virtual untuk menjalankan aktiviti X-Break.

“Pada aktiviti yang dilaksanakan 6 Julai lalu, seramai 1,005,023 penyertaan diterima daripada warga institusi pendidikan termasuk murid sekali gus mengiktiraf KKM sebagai pemegang rekod kebangsaan menjalankan X-Break terbesar.

“Justeru, pengiktirafan sijil MBOR ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan hidup sihat kepada semua kumpulan sasar terutama murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi di samping mengekalkan memontum pelaksanaan inisiatif promosi kesihatan di semua institusi pendidikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya