Program Eksplorasi Kerjaya bantu pelajar cungkil potensi kerjaya

Program Eksplorasi Kerjaya bantu pelajar cungkil potensi kerjaya

V. Sivakumar (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (empat dari kiri) dan Ketua Setiausaha Bahagian Kaunseling dan Psikologi Kementerian Pendidikan Malaysia, Salmiah Monshie beramah mesra dengan pelajar yang terlibat dengan Program Eksplorasi Kerjaya Peringkat Kebangsaan 2023 selepas melancarkan program tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Laut, Tanjung Sepat,Kuala Langat, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Buat julung kalinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mula memperkenalkan inisiatif khusus bagi membantu pelajar mengenal pasti peluang kerjaya.

Program Eksplorasi Kerjaya itu dirangka dengan pelbagai aktiviti termasuk bengkel yang dirancang untuk membimbing mereka mengenai potensi trend pasaran buruh semasa, sekali gus diyakini mampu menangani isu ketidakpadanan kerjaya.

Inisiatif hasil berkolaborasi Yayasan Pintar dan juga mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan dengan buat permulaannya melibatkan 11 buah sekolah menengah kebangsaan (SMK).

Institusi berkenaan yang terletak di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang dipilih sebagai perintis sebelum diperluaskan ke banyak tempat lagi dalam masa terdekat.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program itu di SMK Batu Laut di sini, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar optimis dengan inisiatif tersebut.

“Kita yakin usaha ini akan mencetuskan sinergi kepada perubahan positif dan menambah baik situasi pasaran tenaga kerja semasa di seluruh negara,” jelasnya.

Menariknya ujar beliau, meskipun baru diperkenalkan, lebih 1,000 pelajar menyertai program itu serta meraih reaksi positif terutama guru kaunseling dan bimbingan kerjaya.

Sivakumar mendedahkan, ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tersilap memilih kursus di institusi pengajian tinggi malah hampir separuh mendapat kerjaya tidak setimpal.

Beliau memberi contoh statistik penempatan MYFutureJobs yang diuruskan oleh Perkeso apabila didapati 42 peratus atau 15,460 graduan mengalami kes ketidakpadanan kerja kerana berada di sektor separa mahir dan rendah serta bergaji RM2,000 ke bawah, setakat 14 Julai tahun ini.

Justeru, Program Eksplorasi Kerjaya jelasnya, merupakan intervensi awal agar pelajar diberikan maklumat bidang pengajian yang wajar diceburi selaras permintaan pasaran.

“Saya berharap mereka tidak buang masa dan wang untuk belajar kursus yang tiada potensi kerjaya atau tidak menepati selera majikan,” katanya.

Sementara itu, guru SMK Setiawangsa, Kuala Lumpur, Zainal Abdin Abdullah yang optimis banyak faedah dapat diraih pelajar daripada program itu dan mencungkil kecenderungan minat kerjaya mereka.

Katanya, ramai kalangan mereka didapati hanya mengikut rakan apabila memilih aliran semasa memasuki tingkatan empat.

“Program ini dapat membantu mereka merancang awal dan memudahkan persiapan menjelang SPM dan memohon menyambung pengajian tinggi,” katanya.

Guru kaunseling SMK Bandar Seri Putra, Bangi, Dewi Manja Alleh pula berkata, program itu pernah ditawar kepada pelajar tingkatan tiga menerusi ujian psikometrik.

“Kami mendapat banyak bahan terbaik daripada Perkeso untuk digunakan bagi membimbing pelajar peringkat menengah atas mengenal pasti potensi diri apabila tamat sekolah,” katanya.

Sementara itu, guru kaunseling SMK Batu Laut, Abdul Hisam Abdullah berkata, sebelum ini mereka menggunakan banyak modul tetapi kali ini lebih spesifik meneroka minat pelajar.

“Program sebegini wajar dikembangkan lagi kepada banyak sekolah untuk membantu pelajar tahu kelebihan mereka dan tidak tersalah pilih aliran pengajian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya