PRN: Pengantin baharu dapat RM500, jemaah haji RM1,000 antara intipati Manifesto Perpaduan Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: Pengantin baharu dapat RM500, jemaah haji RM1,000 antara intipati Manifesto Perpaduan Pulau Pinang

BARISAN 40 calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada PRN-15 Pulau Pinang pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, Pulau Pinang malam tadi. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji daripada golongan B40 dan Program Mempelai Emas iaitu sumbangan RM500 secara ‘one off’ kepada setiap pasangan yang baharu berkahwin antara intipati Manifesto Perpaduan Pulau Pinang yang dibentangkan malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Perpaduan negeri, Zairil Khir Johari berkata, secara keseluruhannya terdapat 16 tema utama membabitkan 50 manifesto yang bakal memanfaatkan pengundi negeri itu.

“Di bawah tema Syiar Islam Terus Dipertahankan Berteraskan Kerangka Malaysia Madani, bantuan ‘one off’ RM1,000 akan diberikan kepada setiap jemaah haji yang akan menunaikan rukun Islam kelima.

“Di bawah tema Cakna Kebajikan Rakyat pula, program Mempelai Emas RM500 akan disumbangkan kepada setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga.

“Menerusi tema Percambahan Modal Insan, sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar daripada golongan B40 yang memperoleh tawaran ke IPTA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Manifesto Perpaduan Pulau Pinang Pulau Pinang 2023 di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, manifesto yang dibentangkan akan memperkasakan Pulau Pinang ke arah yang lebih gemilang dengan memastikan rakyatnya terus hidup dalam suasana aman harmoni berlandaskan kehidupan yang berkualiti.

“Pencapaian dan kejayaan yang dikecapi ekoran kepercayaan serta mandat yang diberikan rakyat sejak 15 tahun lalu.

“Menyingkap perjalanan sebagai kerajaan negeri.sejak tahun 2008, khasnya dalam tempoh lima tahun ini pelbagai cabaran yang ditempuhi bersama.

“Antaranya pandemik Covid-19 yang secara peribadinya diibaratkan satu cabaran getir buat seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri dalam memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Tambahnya, manifesto terbabit mejadi sebuah mandat baharu yang bukan hanya menyediakan megeri ini ke arah lonjakan kedua ekonomi baru sejajar dengan landasan Ekonomi Madani yang menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bercambah sebanyak enam peratus.

“Malah, ia juga terus menyediakan serta mempelbagaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira usia, latar belakang dan juga organisasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya