Naratif `pengkhianat' tidak jejas reputasi - Khaliq Mehtab

Naratif `pengkhianat’ tidak jejas reputasi, rakyat lebih tahu menilai – Khaliq Mehtab

KHALIQ MEHTAB Mohd. Ishaq (kanan) beramah mesra bersama jentera Wanita Ummah Arau ketika ditemui dalam siri jelajah kempennya sempena PRN di Kampung Kuala Bekah, Penaga, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam daripada Perikatan Nasional (PN), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq tidak mengambil ‘pusing’ akan naratif yang dimainkan lawan yang melabelnya seorang yang telah `mengkhianati’ mandat rakyat.

Khaliq Mehtab yang merupakan Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebaliknya berkata, beliau mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap isu-isu kebajikan rakyat termasuk pembangunan anak muda yang difikirkan lebih utama untuk dititikberatkan.

“Paling penting sekiranya diberi mandat sekali lagi, kehidupan dan kebajikan rakyat ini yang harus dititikberatkan selain pembangunan anak muda.

“Sebab kita tengok anak muda sekarang semakin hari semakin ramai yang tiada pekerjaan kerana keadaan ekonomi semasa seperti mata wang merudum dan kos sara hidup yang kian meningkat.

“Inilah niat saya untuk memberikan mereka satu harapan supaya masa depan mereka dapat dilihat dengan lebih jelas dan terjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dalam siri jelajah kempennya di Kampung Kuala Bekah dekat Penaga, di sini hari ini.

Tambah Khaliq Mehtab, naratif ‘pengkhianat’ itu tidak menggambarkan dirinya kerana rakyat boleh menilai berdasarkan rekod yang dipegang sebagai ahli Bersatu dan kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan sepanjang menjadi ADUN Bertam sejak 2018.

“Isu pengkhianat itu saya rasa semua orang tahu (bahawa) saya tak pernah lompat parti, saya kekal (sebagai) ahli Bersatu (iaitu) daripada mula bertanding sejak 2018 dan setia menjadi ahli Bersatu sejak 2016 sampai sekarang. Rakyat lebih tahu menilainya.

“Saya percaya penduduk Bertam sudah tahu ‘track record’ saya selama lima tahun. Kita bukan bawa apa-apa retorik, kita bukan cakap kosong, kita buat apa yang kita cakap. Itu yg penting,” katanya.

Tambahnya yang juga penyandang kerusi DUN Bertam berkata, beliau yakin gelombang rakyat yang disifatkan ‘membuak-buak’ ketika ini bakal diterjemahkan dalam peti undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Gelombang rakyat (ada) di mana-mana, rakyat rata-ratanya menyatakan rasa ketidakpuasan hati dan saya rasa gelombang ini akan melanda seluruh negara.

“Malah, tidak mustahil kemungkinan kerajaan DAP di Pulau Pinang boleh dialihkan dengan PN akan mengambil alih (pentadbiran),” katanya.

Kerusi DUN Bertam menyaksikan pertarungan satu lawan satu di antara Khaliq Mehtab dengan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan jumlah pengundi seramai 23,999 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×