PRN: Kaji semula subsidi harga padi, ditolak pesawah - Pak Ya - Utusan Malaysia

PRN: Kaji semula subsidi harga padi, ditolak pesawah – Pak Ya

Subsidi padi
MOHD. Yahya Sahri beramah mesra dengan orang ramai di sekitar Tanjong Karang, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan dicadangkan memperhalusi dan mengkaji semula pemberian subsidi harga padi kepada pesawah yang disifatkan tidak diterima baik golongan itu.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi referendum rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menolak inisiatif murni berkenaan.

“Kerajaan mungkin boleh mengkaji semula subsidi itu kerana saya melihat mereka (pesawah) menolaknya.

“Bagi saya, perkara lain boleh lebih difokuskan terutama melibatkan anak muda. Jika pesawah mahu, mereka mesti tidak menolak Pakatan Harapan (PH) dan memilih Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika ditemui di Tanjong Karang.

Semalam, beliau yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.09 Permatang tewas kepada Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang, Nurul Syazwani Noh dengan majoriti 1,728 undi.

Kerajaan pada 8 Ogos lalu bersetuju menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap seorang pesawah di negara ini akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 bagi setiap metrik tan padi yang dituai.

Dalam pada itu, Mohd. Yahya berkata, beliau akur dengan keputusan pilihan raya dan berterima kasih kepada semua jentera yang bertungkus lumus membantu kempennya.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Nurul dan berharap beliau dapat meneruskan tugas dan janji kepada rakyat Permatang. Tahniah juga kepada PH-BN yang kekal mentadbir negeri ini dan semua rakan calon yang menang,” ujarnya

Tambah Pengerusi Institut Koperasi Malaysia (IKMA) itu, beliau akan kekal meneruskan hasrat lima tekad kempennya iaitu Permata Permatang. 

“Ia meliputi program kursus keusahawanan dan koperasi terutama kepada petani pesawah dan peladang. Selain itu, saya menumpukan usaha merancakkan industri halal dan pelancongan, komuniti pertanian di Tanjong Karang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya