Polis bongkar makmal dadah heroin, rampas dadah bernilai RM5.78 juta - Utusan Malaysia

Polis bongkar makmal dadah heroin, rampas dadah bernilai RM5.78 juta

MOHD. KAMARUDIN Md. Din menunjukkan sebahagian dadah dadah jenis heroin dan heroin base bernilai RM5.78 juta yang dirampas daripada satu sindiket dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini. - Pic IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Polis berjaya membongkar makmal haram memproses dadah serta merampas dadah jenis heroin dan heroin base bernilai RM5.78 juta dalam siri serbuan di sini dan Bukit Mertajam dekat sini, Selasa dan Rabu lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang Selasa hingga keesokkan harinya itu, polis berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 42 hingga 46 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah jenis heroin untuk pasaran tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, suspek pertama berusia 46 tahun ditahan kira-kira pukul 4 petang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ketika sedang memandu kereta di situ.

Kemudian, katanya, pada hari sama kira-kira pukul 8 malam, suspek kedua berusia 42 tahun ditahan di parkir sebuah pusat membeli belah di Alma, Bukit Mertajam.

”Susulan penahanan suspek, polis berjaya membongkar makmal haram memproses dadah di sebuah kondominium yang disewa suspek di Tanjong Tokong.

”Di makmal haram di kondominium tersebut, polis berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM5.78 juta

“Dadah yang dirampas itu masing-masing heroin base seberat 65.48 kilogram, heroin (13.62 kilogram) dan serbuk kafein (8.48 kilogram),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Kamarudin, dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk menggunakan jalan darat dari Thailand dan pihak polis masih mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.

”Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 4.47 juta penagih dadah.

”Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menyeludup masuk heroin base dari Thailand, kemudian memprosesnya untuk diedarkan bagi
pasaran tempatan,” katanya.

Tambahnya, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dan suspek berusia 42 tahun didapati mempunyai kepakaran memproses bahan-bahan untuk dijadikan dadah heroin.

”Kedua-dua suspek negatif dadah dan semakan rekod jenayah juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

”Kes disiasat di bawah seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah
Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988 yang mana mana polis menyita sebuah kenderaan Toyota Estima yang disyaki diperolehi hasil jualan dadah.

”Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan ialah RM5.85 juta dan polis akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya