TEMERLOH: Seorang lelaki berusia 52 tahun yang dikehendaki polis Temerloh berjaya diberkas di sebuah rumah di Jalan Jenderak Utara Felcra Ulu Jenut, Kuala Krau, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini melakukan penugasan berikutan menerima maklumat pada pukul 8.30 malam semalam.
“Ketika melakukan pemeriksaan di rumah tersebut, pihak polis menjumpai sebuah beg silang di dalam rumah itu serta menemui dua paket plastik dadah jenis heroin.
“Dadah yang ditemui itu dianggarkan seberat 22.13 gram dan dianggarkan bernilai RM664,” katanya di IPD Temerloh hari ini.
Menurut Mazlan, lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Sek. 15(1)(a) ADB 1952.
“Suspek juga memiliki kesalahan lampau, Sek 6(3) ADB (LLPK) 1985, Sek 6(3)(G) ADB (LLPK) 1985, Sek 39A (1) ADB 1952 dan Sek 15(1)(a) ADB 1952.
“Selain itu, semakan lanjut mendapati lelaki itu turut mempunyai kesalahan berkait dengan laporan di Temerloh, Rpt:4879/19, Sek 15(1)(a) ADB 1952 No. RJ10A/JSJN/PH/100403/22/ (BA/22/0036401),” ujarnya. – UTUSAN










