Pinggir negeri pembangkang bertentangan semangat federalisme - MB Perlis - Utusan Malaysia

Pinggir negeri pembangkang bertentangan semangat federalisme – MB Perlis

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di dalam kerajaan perlu berlapang dada dan menghormati pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini sekali gus meraikan proses demokrasi dalam negara ini tanpa perlu meminggirkan mana-mana negeri pembangkang selepas ini.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, selepas berakhirnya PRN tersebut, semua pihak tanpa mengira parti perlu berhenti berpolitik dan memberi penumpuan terhadap aspek kebajikan rakyat secara menyeluruh.

Katanya, tempoh masa ‘berperang’ sudah tamat dan semua pihak seharusnya menghormati pilihan rakyat dalam meraikan proses demokrasi dalam negara ini.

“Kita berpolitik masa pilihan raya sahaja dan sekarang kita tumpu kepada kebajikan rakyat tanpa mengira parti,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

PRN membabitkan enam negeri Sabtu lalu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas berjaya mengekalkan penguasaan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan prestasi jauh lebih baik.

Di Kedah, PN berjaya menguasai 33 daripada 36 kerusi DUN, di Kelantan pula, gabungan berkenaan memenangi 43 daripada 45 kerusi DUN dan seterusnya Terengganu, PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN tanpa meninggalkan satu kerusi sekali pun kepada BN-PH.

PN juga menunjukkan prestasi cemerlang di Selangor apabila menang 22 kerusi daripada 56 serta berjaya menembusi Pulau Pinang apabila menang 11 daripada keseluruhan 40 kerusi.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, cadangan pihak tertentu yang meminta agar kerajaan Persekutuan menghentikan bantuan buat kerajaan negeri pembangkang juga dilihat bertentangan dengan semangat federalisme.

“Itu (cadangan henti bantuan) adalah cakap-cakap orang yang kecewa akibat prestasi buruk mereka. Sistem federalisme serta semangat demokrasi perlulah dihormati oleh semua,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya