Permohonan notis merah babit menantu Muhyiddin diterima secara

Permohonan notis merah babit menantu Muhyiddin diterima secara lisan

RAZARUDIN Husain menyaksikan penyerahan serah terima tugas antara Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) kepada Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) baharu berkuat kuasa hari ini pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJ di Bukit Aman di sini hari ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan menerima permohonan secara lisan berhubung tindakan mengenakan notis merah terhadap menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan dan seorang peguam. 

Beliau berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan yang akan diambil.

“Setakat ini, permohonan notis merah ini hanya secara lisan dan kita akan bekerjasama dengan maklumat yang diberikan kepada kita untuk tindakan.

“Insya-Allah ia (notis merah) akan disampaikan kepada kita nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siastaan Jenayah baharu di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini hari ini.

Pada 11 Ogos lalu, PDRM menyatakan kesediaan bekerjasama dengan SPRM untuk mengenakan notis merah terhadap dua individu termasuk Muhammad Adlan.

Tindakan  menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah akan dilakukan sekiranya dimohon SPRM. 

Utusan Malaysia turut mendedahkan, keberadaan Muhammad Adlan Berhan di luar negara kerana mempunyai urusan kerja dijadikan sebagai alasan beliau tidak pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan SPRM.

Memetik sumber, SPRM sudah beberapa kali cuba menghubungi beliau sejak Mei lalu namun pelbagai alasan diberikan termasuk perlu menghadiri mesyuarat di negara luar.

Muhamad Adlan dikatakan akan menyelesaikan urusan kerja tersebut dalam tempoh beberapa minggu selepas dia keluar dari negara ini pada 17 Mei lalu.

Namun, sejak tarikh tersebut dia terus memberi alasan-alasan tertentu dan tidak juga kembali ke tanah air.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memohon bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyenaraihitamkan pasport kedua-dua individu tersebut. 

Ini kerana, kata beliau, kedua-dua mereka diperlukan untuk tindakan mahkamah (pendakwaan). 

Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya akan memohon ‘red notice’ atau notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) agar menyenaraikan kedua-dua individu terbabit jika masih gagal dikesan. 

Minggu lalu, menantu Muhyiddin serta seorang peguam Mansoor Saat, 69, dicari SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

SPRM cuba menghubungi dua lelaki terbabit secara terus dan menerusi peguam masing-masing namun kedua-dua mereka enggan tampil memberi kerjasama.

Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN