PETALING JAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) dijangka meningkat kepada 2.5 peratus pada 2026, lebih tinggi daripada unjuran sebelumnya, susulan tekanan kos akibat kenaikan harga minyak mentah global.
CGS International (CGSI) dalam analisis berkata, semakan naik unjuran inflasi itu dibuat selepas mengambil kira lonjakan harga diesel dan petrol yang berpotensi memberikan kesan rantaian lebih meluas.
Tambah firma penyelidikan tersebut, peningkatan harga bahan api berkenaan secara tidak langsung boleh menaikkan lagi kos pengangkutan kenderaan serta harga barangan runcit di peringkat pengguna.
“Risiko inflasi di seluruh negara pada ketika ini didapati lebih condong ke arah trend kenaikan, terutama daripada kesan ‘pass-through’ atau pemindahan kos kepada pengguna,” katanya dalam nota penyelidikan.
Selain itu, CGSI merujuk anggaran awal Jabatan Perangkaan menilai ekonomi negara berkembang 5.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, berbanding 6.3 peratus pada suku sebelumnya.
Jelas firma penyelidikan itu, pertumbuhan sederhana tersebut itu didorong oleh semua sektor utama kecuali perlombongan yang menguncup 1.1 peratus akibat penurunan pengeluaran minyak mentah dan gas asli.
Katanya, walaupun berdepan ketidaktentuan global termasuk konflik di rantau Timur Tengah, ia masih lagi mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 4.8 peratus, disokong beberapa faktor.
“Antara pemacu utama termasuk daya tahan perbelanjaan pengguna dilindungi oleh mekanisme subsidi seperti BUDI95, selain kitaran harga komoditi yang tinggi dijangka merangsang eksport,” katanya dalam nota penyelidikan CGSI.
Selain itu ujarnya, gangguan rantaian bekalan di pasaran domestik dijangka terkawal dalam tempoh terdekat, dengan Petronas sendiri memberi jaminan bekalan bahan api mencukupi sehingga Jun 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, tekanan inflasi tinggi boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna, di samping pelarasan semula perbelanjaan fiskal ke arah subsidi berbanding pelaburan produktif.
Tambahnya, data terkini DOSM menunjukkan kadar inflasi utama meningkat kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, naik berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya, didorong kenaikan kos pengangkutan. – UTUSAN










