PETALING JAYA: Hampir 80 peratus rakyat Malaysia kini beralih arah dengan memilih destinasi domestik bukan bandar sebagai lokasi percutian pilihan mereka dalam tempoh 12 bulan lalu.
Trend ini menyaksikan pengembara tempatan semakin menjauhi kawasan urban yang sesak bagi mencari pengalaman pelancongan yang lebih bermakna, tenang dan kurang diterokai.
Laporan terbaharu Airbnb bertajuk Beyond the Beaten Track: Unlocking Tourism Growth Across Asia Pacific turut mendedahkan bahawa sebanyak 88 peratus rakyat Malaysia merancang untuk terus meneroka lokasi luar bandar dalam tahun akan datang.
Pengurus Negara Airbnb bagi Asia Tenggara dan India, Amanpreet Bajaj berkata, peralihan ini didorong oleh keinginan pengembara untuk mendapatkan hubungan peribadi yang lebih mendalam serta pengalaman kehidupan tempatan yang autentik.
“Di Malaysia, semakin ramai pengembara mengejar lokasi yang menawarkan rentak lebih santai. Minat ini secara langsung menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam memacu pelancongan mampan dan bernilai tinggi.
“Langkah menyebarkan aliran pelancong ke komuniti setempat di luar bandar utama bukan sahaja menggalakkan pertukaran budaya, malah mewujudkan peluang ekonomi bagi perniagaan kecil di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.
Data Airbnb menunjukkan jumlah malam penginapan di destinasi bukan bandar meningkat 15 peratus pada 2025, dengan Bentong, Sepang dan Cameron Highlands mencatatkan pertumbuhan paling ketara.
Kajian itu turut mendedahkan 91 peratus responden mengutamakan pengalaman berasaskan komuniti, manakala faktor utama pemilihan destinasi dipengaruhi oleh keindahan alam semula jadi (54 peratus) serta ketenangan (51 peratus).
Selain itu, ketersediaan penginapan alternatif memainkan peranan besar di mana 84 peratus pelancong lebih cenderung melawat kawasan pedalaman sekiranya terdapat pilihan rumah kongsi atau sewaan percutian.
Impak ekonomi daripada trend ini juga signifikan apabila pelancong dilaporkan membelanjakan purata RM117 seorang untuk barangan tempatan, dengan 90 peratus perbelanjaan tertumpu kepada sektor makanan dan minuman berasaskan komuniti.
Peranan hos Airbnb dalam memberikan cadangan tempatan turut mempengaruhi keputusan perbelanjaan tetamu, sekali gus membantu memelihara budaya dan membuka peluang ekonomi di luar pusat pelancongan tradisional Malaysia. –UTUSAN










