Stadium Darul Makmur kembali bergema

Stadium Darul Makmur kembali bergema

LEBIH 30,000 penonton datang memeriahkan Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Stadium Darul Makmur, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Setelah sunyi akibat penarikan diri skuad Sri Pahang dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026, Stadium Darul Makmur di sini, kembali bergema apabila lebih 30,000 penyokong hadir majlis pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah, sekali gus menandakan kebangkitan semula bola sepak negeri ini.

Majlis penuh meriah itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan NGO negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan rakyat Pahang masih mendambakan suasana bola sepak yang menghidupkan semangat kebersamaan.

“Liga Rakyat Pahang 1st ini boleh melepaskan rindu rakyat Pahang terhadap bola sepak. Kita tengok sendiri, sudah lama kita tak rasa suasana sebegini.

“Kalau sebelum ini hanya sekitar 7,000 hingga 8,000 penonton hadir, malam tadi lebih 30,000 memenuhi stadium. Ini bukti jelas bahawa bola sepak masih dekat di hati rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran liga itu.

Turut berlangsung perlawanan bola sepak yang menyaksikan bekas pemain kebangsaan, Azizul Kamaludin muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Pilihan Pahang bangkit menewaskan Pilihan Selangor 2-1.

Fadzli berkata, pelaksanaan liga itu selaras titah Al-Sultan Abdullah yang mahu bola sepak tempatan terus disemarakkan dan menjadi medium menyatukan rakyat di seluruh negeri.

Beliau berkata, setiap persatuan bola sepak daerah diminta menyediakan sekurang-kurangnya 12 pasukan bagi bersaing di peringkat daerah sebelum juara masing-masing layak beraksi di peringkat negeri.

“Pertandingan di peringkat daerah dijangka bermula dalam tempoh dua minggu lagi dengan dua daerah menganjurkan perlawanan secara serentak setiap minggu.

“Saya mahu menyeru rakyat Pahang agar mengambil kesempatan daripada pelaksanaan liga ini yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan mengambil bahagian dan menghantar pasukan,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang merancang pelaksanaan liga pembangunan melibatkan kategori bawah 19 tahun, 15 tahun, 12 tahun, 10 tahun dan lapan tahun bagi memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi.

“Saya yakin Liga Rakyat Pahang ini dapat mengembalikan kerinduan rakyat terhadap sukan bola sepak dan menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula bola sepak negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN