Lapangan Terbang Langkawi dinobat Lapangan Terbang Terbaik di Routes Asia Awards - Utusan Malaysia

Lapangan Terbang Langkawi dinobat Lapangan Terbang Terbaik di Routes Asia Awards

LAPANGAN Terbang Langkawi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTL) diiktiraf sebagai pemenang bagi kategori Bawah Lima Juta Penumpang di Routes Asia Awards 2026 berikutan prestasi cemerlang dalam pembangunan rangkaian laluan penerbangan.

Anugerah berprestij itu, yang diundi oleh perancang rangkaian syarikat penerbangan global, mengiktiraf kecemerlangan pemasaran destinasi serta perkongsian strategik yang memacu ketersambungan global.

Pencapaian tersebut mencerminkan momentum pertumbuhan stabil LTL sepanjang 2025 yang mencatatkan hampir 2.92 juta penumpang, iaitu peningkatan sebanyak 14.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, trajektori pertumbuhan Langkawi pada 2025 membuktikan kekuatan strategi ketersambungan syarikat serta daya tarikan pulau tersebut sebagai destinasi percutian utama.

“Fokus kami tetap kepada penyampaian pengalaman yang lancar dan mengalu-alukan bagi setiap pengembara. Keseimbangan antara pertumbuhan dan perkhidmatan ini adalah kunci untuk mengekalkan kedudukan Langkawi sebagai pintu masuk utama,” katanya dalam kenyataan.

Rangkaian LTL kini diperkukuh oleh lapan syarikat penerbangan dengan pengenalan laluan baharu seperti Tashkent–Langkawi serta perkhidmatan sewa khas (charter) dari Warsaw dan Chengdu.

Pertumbuhan itu turut disokong oleh inisiatif strategik seperti Program Pembangunan Rangkaian (NDP) dan Geran Padanan Penerbangan Antarabangsa (GSPC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Tourism Malaysia.

Selain kecemerlangan pemasaran, LTL turut mengekalkan standard perkhidmatan tinggi apabila dinobatkan sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Asia-Pasifik (2 hingga 5 juta penumpang) dalam anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) buat tahun kelima berturut-turut.

Kejayaan ini juga menyokong aspirasi nasional di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan LTL memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ketersambungan antarabangsa dan menyambut lebih ramai pelancong ke rantau ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN