PETALING JAYA: Perang mulut antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor dilihat lebih cenderung untuk mempengaruhi pengundi atas pagar pada pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, kali ini.
Ini kerana penyokong setia kerajaan perpaduan atau Perikatan Nasional (PN) sudah tentu yakin dengan figura masing-masing berbanding pengundi atas pagar yang masih dalam tempoh menilai pilihan terbaik sebelum membuang undi pada 12 Ogos depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, pertempuran antara kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Pas itu lebih menonjol dalam PRN kali ini.
Beliau berkata, ini kerana perang antara kedua-dua pemimpin politik itu berlaku disebabkan hari pengundian yang sudah semakin hampir.
“Jadi, masing-masing ada hujah dan rakyat apabila mendengar pandangan kedua-dua pihak mungkin keliru juga mana satu yang betul dan sebaliknya.
“Tetapi, Saifuddin Nasution adalah Menteri Dalam Negeri, jadi beliau ada akses dari segi apa yang berlaku dan kemungkinan apa dibangkitkan oleh Saifuddin boleh mempengaruhi pengundi terutama pengundi atas pagar sebab data-data yang dikeluarkan nampak meyakinkan.
“Namun, pengundi Kedah tetap percaya kepada Muhammad Sanusi sebab cara penyampaiannya dengan masyarakat yang lebih dekat dengan rakyat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Perang mulut antara Saifuddin Nasution dan Muhammad Sanusi bermula apabila Menteri Dalam Negeri itu mendakwa Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mengetahui kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) yang berlaku di Sik, Kedah.
Pendedahan dikemukakan Saifuddin Nasution yang mengaitkan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi MBI Kedah itu turut disertakan dengan bukti dan gambar dalam sidang media baru-baru ini.
Bagaimanapun Menteri Besar Kedah itu menafikan dakwaan tersebut selain menegaskan beliau tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.
Terbaharu, Muhammad Sanusi mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang warganegara Indonesia pernah datang ke Kedah dipercayai ada kaitan dengan projek REE pada tahun lalu.
Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menjelaskan ahli perniagaan dari Indonesia tersebut hanya mahu melakukan kunjungan hormat ke atas Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, apa yang dilakukan oleh Saifuddin Nasution dan Muhammad Sanusi merupakan satu pertarungan politik dan ia adalah satu cara meyakinkan rakyat mendapat undi.
“Dari sudut politik, memang itu mereka akan buat dan pertarungan tersebut menggunakan data.
“Kalau di Amerika Syarikat atau negara maju yang lain lagi dahsyat, mereka akan membongkar skandal dan sebagainya menggunakan data. Misalnya kali ini Saifuddin Nasution bawa keluar data dan Muhammad Sanusi pula yang menafikan lebih kepada lisan.
“Soal baik atau tidak, memang perbalahan itu tidak baik sebab orang melihat. Tetapi memang itu mereka buat dari sudut politik, sebab kalau betul penyelewengan berlaku, maka perkara itu perlu didedahkan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berpandangan, perang antara Ketua Setiausaha PH dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu merupakan satu perkara yang perlu dipuji.
Beliau berkata, ini kerana ia membuka mata rakyat yang tidak ‘bodoh’ untuk menilai.
“Sebab pada akhirnya pengundi dapat tahu siapa yang salah dan yang betul. Jadi, selagi mana meraikan demokrasi, maka kita biarkan. Tetapi, jangan sampai menghina dan memburuk-burukkan,” katanya.
Justeru, katanya, pertembungan antara kedua-dua pemimpin politik itu hanya akan selesai pada hari pengundian 12 Ogos depan,” katanya. – UTUSAN










