Peniaga bantah cadangan pindah pasar tani - Utusan Malaysia

Peniaga bantah cadangan pindah pasar tani

SEBAHAGIAN daripada peniaga yang membuat bantahan pemindahan Pasar Tani Kuala Besut di Kuala Besut. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kira-kira 200 peniaga Pasar Tani Kuala Besut di sini membantah cadangan memindahkan tapak perniagaan ke lokasi lain untuk memberi laluan kepada pembinaan premis perniagaan restoran makanan segera di situ.

Mereka yang sudah berniaga sejak 40 tahun lalu bimbang hasil jualan akan terjejas apabila berpindah ke tempat baharu yang tidak strategik dan kurang tumpuan orang ramai.

Wakil peniaga, Mohd. Sukeri Mohammad, 45, berkata, dalam situasi ekonomi sekarang, kebajikan mereka perlu diutamakan berbanding pihak lain.

“Lokasi tapak baharu jauh ke belakang di tepi laut, kenapa pembinaan premis itu tidak dibuat di situ? Kenapa kami pula yang perlu berkorban untuk berpindah?

“Kami berharap ada tindakan drastik daripada pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu ini, dengarlah luahan kami yang sudah lama berniaga di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi peniaga, Nor Hasanah Othman, 40, pula berkata, mereka kecewa kerana disuruh berpindah tanpa mengetahui alasan yang munasabah.

“Langsung tak ada sebarang perbincangan antara peniaga. Kami tahu dari Facebook bahawa peniaga perlu pindah ke tempat baharu untuk memberi laluan pembinaan premis makanan.

“Kami bukan bantah melulu kerana lokasi baharu itu tidak sesuai untuk penjaja dan peniaga kecil kerana sempit, tak boleh buka khemah. Kami tak boleh masuk dalam kawasan tu untuk berniaga, hanya boleh niaga di kawasan luar dan di tepi jalan juga,” katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat diterimanya sebelum ini, memang sudah ada perancangan pembinaan di kawasan itu namun ia tidak diteruskan atas beberapa sebab.

“Saya dapat maklumat, dari 2013 hingga 2018 sudah ada rancangan tapi kerajaan ketika itu cadangkan pihak tersebut supaya cari tanah lain yang lebih sesuai. Malangnya ia diteruskan pula kali ini,” katanya.

Sementara itu, Majlis Daerah Besut dalam kenyataan di laman Facebook rasminya memaklumkan Pasar Tani Kuala Besut akan berpindah ke Kuala Besut Square bagi memberi keselesaan kepada peniaga terlibat.

“Tapak lama pasar tani itu merupakan tanah Majlis Daerah Besut akan dibina restoran makanan segera yang akan merancakkan ekonomi setempat serta mengubah sosioekonomi masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN