KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu kedai makan dan pasangannya dijatuhi hukuman masing-masing tiga sebatan serta denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan khalwat berulang, Januari lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof memerintahkan hukuman itu dilaksanakan di Penjara Marang pada pukul 10 pagi, 7 Jun ini selepas tamat tempoh rayuan 14 hari.
Mahkamah turut menetapkan kedua-dua tertuduh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Mengikut pertuduhan, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, dan pasangannya, Tengku Nur Fariesha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24, didapati berkhalwat di sebuah rumah di Kerteh, Kemaman kira-kira pukul 3.15 pagi, 15 Januari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2021. Pasangan itu ditahan dalam satu serbuan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai hubungan mahram atau dokumen perkahwinan yang sah.
Dalam penghakimannya, Nik Mohd Shahril berkata, mahkamah memandang serius kesalahan dilakukan kerana kedua-dua tertuduh merupakan pesalah berulang bagi kes sama.
Menurutnya, pasangan terbabit sebelum ini pernah ditangkap atas kesalahan khalwat pada Januari 2025 dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 13 Mei tahun lalu.
“Mereka sebelum ini telah disabitkan bersalah dan dihukum, namun masih mengulangi kesalahan sama,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Shazmel Aqimie yang bekerja sebagai pembantu kedai makan merayu hukuman diringankan dengan alasan dia adalah anak bongsu daripada enam beradik. Sementara itu, Tengku Nur Fariesha Ulani yang bekerja sebagai barista turut memohon hukuman dikurangkan kerana perlu menyara ibu serta adik-beradik selepas kematian bapanya.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman tersebut sebagai pengajaran sebelum membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh pelaksanaan hukuman. – UTUSAN










