Pengurangan saiz lot dagangan di Bursa Malaysia dilaksana tahun ini

Pengurangan saiz lot dagangan di Bursa Malaysia dilaksanakan tahun ini

Ahmad Maslan bersama Wahid Omar (kanan) dan Muhamad Umar Switf (kiri) membuat gimik pelancaran perasmian Bursa Marketplace Fair 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, di sini, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Inisiatif pengurangan saiz lot dagangan di Bursa Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini akan dilaksanakan tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, inisiatif itu akan membolehkan dagangan saham pecahan oleh pelabur dan ia sebahagian daripada langkah untuk menjadikan pelaburan lebih mampu milik. 

Menerusi inisiatif katanya, ia akan meningkatkan jumlah pelabur runcit yang kini dianggarkan sebanyak 28 peratus dengan membuka peluang kepada rakyat untuk melabur di Bursa Malaysia.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan membenarkan kebolehcapaian pelabur runcit untuk mendapat akses kepada pembelian saham ‘Blue Chip’ secara lebih mudah dan juga mampu milik.

“Selepas ini, pelabur runcit tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli satu lot saham yang ada 100 unit, mereka boleh beli satu, dua unit atau RM10, RM30, RM40, RM50, tidak semestinya beribu-ribu ringgit.

“Inisiatif ini dilihat dapat merancakkan selain menarik lebih ramai lagi pelabur runcit di luar sana untuk membeli saham seterusnya boleh memperhebatkan lagi pasaran modal Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar Bursa Marketplace Fair 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pembangunan Pelabur Bursa Malaysia, Stephanie Tan.

Jun lalu, Anwar mengumumkan beberapa inisiatif merancakkan pasaran saham dan modal di Bursa Malaysia antaranya pengurangan kadar duti setem atas transaksi saham daripada 0.15 peratus kepada 0.1 peratus serta melancarkan Dana Pertukaran Pedagang (ETF).

Program berkenaan yang berlangsung 17 Julai lalu hingga 29 Disember depan menawarkan insentif tunai menarik kepada pelabur dan peniaga yang terbabit secara aktif dalam perdagangan sekurang-kurangnya satu ETF tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan.

Bercakap mengenai penganjuran Bursa Marketplace Fair 2023, Ahmad memberitahu, acara itu adalah usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan rakyat dalam inisiatif Ekonomi Madani.

“Ini adalah salah satu komponen merakyatkan pasaran saham kepada masyarakat umum agar ia tidak hanya bersifat eksklusif kepada yang benar-benar faham tetapi bersifat lebih inklusif kepada ramai pihak yang boleh memasuki pasaran saham,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Wahid berkata, pihaknya berharap dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan bilangan pelabur runcit dalam pasaran saham di negara pada tahun ini.

“Kita melihat ada peningkatan pelabur runcit pada tahap 28 peratus daripada pasaran saham, ini menjadikan jumlah pelabur aktif pada ketika ini meningkat kepada 1.4 juta. 

“Dari segi pembukaan akaun baharu pula, seramai 13,800 akaun pelabur runcit dibuka pada tahun lalu, kita berharap jumlah ini akan terus meningkat pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya