Pengiktirafan Bank Dunia bukti negara tangani Covid-19 berkesan

Pengiktirafan Bank Dunia bukti usaha Malaysia tangani Covid-19 berkesan

covid-19
Covid-19 bukan lagi ancaman di Malaysia. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengiktirafan Bank Dunia terhadap kedudukan tertinggi Malaysia di Asia Tenggara dalam menangani wabak Covid-19 adalah bukti usaha kolektif negara dalam melindungi kesihatan awam, mengurangkan gangguan ekonomi dan memupuk daya tahan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Azril Mohd. Amin berkata, pihaknya berbesar hati dan terharu akan pengiktirafan Bank Dunia kepada Malaysia yang ketika itu dipimpin oleh Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, dalam laporan komprehensif bertajuk ‘Building Malaysia’s Resilience: Lessons from Covid-19’s Economic Impacts and Policy Responses’, Bank Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara Asia Tenggara terbaik dari segi daya tahan luar biasa menghadapi cabaran Covid-19.

Justeru, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin atas kepemimpinan cemerlang beliau sepanjang krisis kesihatan global yang tidak diduga ini.

“Keazaman, visi dan pendekatan strategik Tan Sri dalam menguruskan pandemik memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan luar biasa ini.

“Dalam pada itu, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa pengorbanan wira-wira barisan hadapan, petugas kesihatan, pekerja sektor penting dan sukarelawan, yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi menghadapi cabaran pandemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azril berkata, laporan itu menyerlahkan keberkesanan dasar dan langkah ekonomi Malaysia, disokong oleh tindakan tegas dan kepemimpinan yang empati.

“Ketika dunia terus bergelut dengan impak pandemik yang meluas, daya tahan Malaysia menjadi contoh untuk diteladani oleh negara-negara lain.

“Pengajaran yang diperoleh daripada krisis ini sudah pasti akan membentuk dasar dan strategi masa depan, serta mengukuhkan keupayaan untuk menangani sebarang cabaran yang mungkin timbul kelak,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam meningkatkan daya tahan Malaysia dan memacu pembangunan mampan.

“Marilah bersama-sama membina sebuah negara yang teguh dan makmur, bagi menjamin masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia.

“Masa amat bangga dapat bersama-sama rakyat Malaysia melangkah ke arah masa depan yang lebih cerah dan berdaya tahan. Kita akan terus mengatasi halangan demi halangan untuk membina Malaysia yang lebih kukuh dan makmur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN