KOTA TINGGI: Penduduk di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini sanggup menunggu satu jam lebih awal untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga rendah.
Jualan itu diadakan sempena Program Jualan Rahmah di pekarangan Gerai Kejora dekat sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, jualan selama empat jam bermula pada pukul 10 pagi hingga 2 petang menawarkan harga serendah RM1 bagi sayur-sayuran.
Katanya, jualan itu menyasarkan golongan kurang berkemampuan supaya dapat meringankan beban mereka.
Tambahan pula jelas beliau, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut majoritinya terdiri daripada penduduk luar bandar.
“Sayur seperti kacang panjang, kangkung, bayam dijual pada harga RM1.
“Program diilhamkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini dan saya difahamkan diskaun ditawarkan sehingga 30 peratus.
“Sambutan amat baik bahkan ada dalam kalangan penduduk yang telah tunggu seawal pukul 9 pagi walaupun program bermula 10 pagi.
“Saya juga berbesar hati memberi diskaun RM2 bagi dua barang keperluan iaitu ayam dan telur dengan harga ayam RM10 seekor hanya bayar RM8, telur pula sepapan hanya perlu bayar RM9,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Aznan berkata, usaha dilakukan itu untuk memastikan rakyat turut merasai manfaat yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
“Program ini amat bagus dan memberi kesan positif kepada rakyat. Harga barang meningkat pada masa kini, namun menerusi Jualan Rahmah dapat mengawal harga, sekali gus dapat mengurangkan beban rakyat.
“Saya turut merancang untuk bergerak ke setiap kampung supaya jualan murah ini dapat dirasai semua rakyat dalam DUN ini terutamanya kepada golongan memerlukan,” katanya. – UTUSAN










