Pendidik peroleh bantuan khidmat guaman jika carum skim - YGMB

Pendidik peroleh bantuan khidmat guaman jika carum skim – YGMB

HAJIJI Noor (tengah) dan Raisin Saidin (tiga, kiri), Wan Munadi Wan Mamat (dua, kiri) bergambar bersama penerima anugerah Tokoh Guru, Sunthararajoo Rengasamy (tiga, kanan) pada Mapens di Magellan Sutera Harbour, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menegaskan khidmat bantuan guaman antara manfaat yang boleh diperoleh warga pendidik sekiranya mencarum skim menerusi yayasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, manfaat itu ditawarkan dalam bentuk penyediaan peguam bela atau ahli boleh melantik sendiri peguam menggunakan khidmat guaman.

Beliau berkata, manfaat terbabit disediakan sehingga nilai maksimum RM30,000.

“Kebelakangan ini kita mendengar ada guru yang berdepan dengan tindakan undang-undang seperti disaman atau sebagainya yang tidak boleh diselesaikan melalui saluran perkhidmatan biasa.

“Kes seorang guru Sabah disaman pelajar baru-baru ini dilihat memberi pengajaran cukup besar. Saya juga ingin menasihati guru-guru supaya lebih berhati-hati dan menjaga nama baik profession perguruan agar perkara sama tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (Mapens) 2023 hari ini.

Acara disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin.

Dalam pada itu, Mapens yang berlangsung di Magellan Sutera Harbour Resort itu menyaksikan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entabuan, Tenom, Sunthararajoo Rengasamy dinobatkan sebagai Tokoh Guru.

Dalam pada itu, Wan Munadi menggesa seluruh warga pendidik yang belum menjadi ahli agar bersama YGBM.

“Selain daripada manfaat perlindungan kebajikan, kita juga memberikan empat skim keahlian yang menawarkan lebih 25 manfaat dengan yuran serendah RM10 sehingga RM35 kadar maksimum,
dengan nilai manfaat RM200 sehingga RM100,000

“Saya kira ini satu nilai yang tidak patut dilepaskan oleh seluruh warga pendidik sebagai jaminan masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Raisin Saidin turut menyarankan semua guru di Sabah mendaftarkan keahlian bersama YGMB berikutan manfaat diberikan sangat berbaloi.

“Saya sendiri dalam tempoh dua bulan ini sudah menyaksikan dua penyerahan manfaat bukan sahaja kepada ahli tetapi keluarga mereka.

“Ia secara tidak langsung mampu meringankan beban dialami ahli sama ada yang sedang menerima rawatan atau melibatkan kematian,” katanya yang turut menyerahkan borang keahlian baharu dirinya selaku ahli YGMB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN