PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menaruh harapan kepada generasi baharu Pemuda UMNO untuk mengembalikan semula kekuatan partinya.
Beliau percaya, sayap Pemuda mempunyai sifat yang berani dan tidak takut menyatakan pendirian demi kepentingan parti mahupun rakyat.
“Politik saya bermula dengan Pemuda UMNO. Ia mengajar tentang idealisme dan membina jati diri untuk melangkah satu demi satu anak tangga sehingga ke puncak tertinggi, meneraju pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pihak Pemuda juga mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk memastikan idealisme UMNO tidak tercemar dan sentiasa diminati oleh anak muda.
“Saya percaya dengan keberanian kepemimpinan Pemuda hari ini mampu untuk membawa parti bangkit kembali.
“Selamat Menyambut Ulang Tahun Pemuda UMNO ke-74. Teruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – UTUSAN











