GUA MUSANG: Lebih 300 penduduk Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Aring 5, Pos Lebir di sini resah dengan kehadiran seekor gajah liar betina bersama anaknya yang berkeliaran di kawasan perkampungan mereka sejak seminggu lalu.
Mereka mendakwa, gajah berkenaan keluar mencari makanan di kawasan dapur rumah penduduk hampir setiap hari selain merosakkan sebuah rumah batu dan tiga rumah buluh.
Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, sebelum ini, penduduk hanya melihat seekor gajah betina yang bunting muncul di kawasan kebun pada 16 Ogos lalu.
Katanya, gajah berkenaan dipercayai sudah melahirkan seekor anak di dalam kawasan kebun dan kini kerap menceroboh ke kawasan rumah penduduk bersama anaknya.
“Gajah berkenaan bersama anaknya telah pecahkan cermin tingkap di rumah penduduk dan memasukkan belalai dalam bahagian dapur rumah. Haiwan itu mengambil semua makanan dalam rumah itu termasuk nasi atau garam.
“Kami juga menyaksikan gajah terbabit merempuh rumah buluh sebelum menuju ke kawasan kebun pisang. Apabila dihalau, dua beranak haiwan itu kemudian memusnahkan keseluruhan tanaman yang mengakibatkan pemilik kebun hilang punca pendapatan sebanyak RM700 sehingga RM800 sebulan,” katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.
Menurut Raina, kejadian itu menyebabkan penduduk kampung bergilir-gilir menjaga kampung bermula pukul 8 malam hingga 7 pagi kerana bimbang gajah datang di halaman rumah.
Seorang lagi penduduk, Ghani Alang, 55, berkata, penduduk tidak dapat keluar mengutip durian di kawasan kebun kerana haiwan tersebut mula masuk ke kampung pada waktu petang.
“Semua penduduk kampung mahu haiwan itu dihalau dengan cepat kerana saya sendiri melihat dua ekor gajah itu di depan mata dan berasa sangat takut.
“Kami bimbang dengan keselamatan nyawa keluarga termasuk anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya telah melakukan siasatan di lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada penduduk kampung.
Katanya, Perhilitan akan memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) biru dan pada masa yang sama menyarankan penduduk untuk membuat unggun api dan membakar tayar di tepi rumah.
“Anggota Perhilitan Gua Musang akan menjalankan pemantauan dan kawalan di dalam kampung terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Gajah liar itu juga dilihat membawa anak kecil dan tidak mahu bergerak ke kawasan hutan.
“Perhilitan juga sudah menembak halau gajah terbabit dan menasihatkan penduduk tidak membuat provokasi terhadap haiwan liar itu,” katanya. – UTUSAN











