Nahas pesawat: Jenazah Muhamad Hafiz selamat dikebumikan

Nahas pesawat: Jenazah Muhamad Hafiz selamat dikebumikan

MUHAMAD Saleh Othman hiba ketika melihat jenazah anaknya yang sedang diturunkan ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerung, Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHRIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, yang merupakan salah seorang mangsa nahas pesawat ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerung, di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham disemadikan pada pukul 3.45 petang selepas selesai solat jenazah yang diimamkan oleh Aziddin Mat Arifin di masjid terbabit.

Hampir 1,000 penduduk termasuk saudara mara dan masyarakat setempat hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Bau Wong Bau Ek.

Terdahulu, Muhamad Hafiz yang bekerja sebagai penghantar makanan merupakan jenazah pertama yang sah dikenalpasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

JENAZAH Muhamad Hafiz Muhamad Saleh dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Huda untuk dikebumikan di Kampung Jerung, Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sebelum dituntut bapanya, Muhamad Salleh, 57, kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Serahan jenazah dibuat selepas sidang akhbar oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan identiti mangsa dan kebenaran tuntutan jenazah kepada keluarga.

Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk ADUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.

Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki. Menurut saksi, Allahyarham sempat menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum menghembuskan nafas terakhir. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya