SARIKEI: Seorang lelaki berusia 30-an tahun maut dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah lori syarikat kurier dan lori muatan baja yang bertembung di Kilometer 30, Jalan Bukit Berayang, Bukit Sebangkoi di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, seorang lagi daripada mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut bagaimanapun selamat dan hanya cedera di bahagian kepala.
“Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei telah menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 5:49 awal pagi tadi, dan bergegas ke lokasi kejadian yang mana jaraknya 30 kilometer dari BBP Sarikei.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak anggota mendapati kemalangan dua lori bertembung melibatkan sebuah lori syarikat kurier yang mana dua mangsa di dalam lori berkenaan tidak sedarkan diri dan tersepit di bahagian pemandu dan penumpang lori berkenaan,” katanya.
Tambahnya lagi, sebuah lagi lori yang membawa muatan baja tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan operasi bomba telah bertindak melakukan operasi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dari lori syarikat kurier berkenaan.
“Bagaimanapun, seorang daripada mangsa yang tersepit telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan disahkan oleh pegawai petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi,” jelasnya.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhd Ekxmal Hassim Abdul, 30 tahun manakala, mangsa yang cedera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.-UTUSAN










