Muhyiddin masih ada tiga pertuduhan AMLA

Muhyiddin masih ada tiga pertuduhan AMLA

TAN SRI IDRUS HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berdepan tiga lagi pertuduhan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, kes itu masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan pada 19 September ini.

Katanya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Muhyiddin untuk untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

“Pihak pendakwaan dengan ini ingin menyatakan bahawa Notis Rayuan ke atas keseluruhan keputusan tersebut telah pun difailkan pada hari ini. 

“Pendakwaan juga ingin menjelaskan bahawa permohonan yang telah diputuskan oleh Mahkamah sebentar tadi hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM sahaja. 

“Manakala tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Tan Sri Muhyiddin masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 September 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.

Sebelum ini, Muhyiddin memfailkan notis usul pada 18 April lalu untuk membatalkan pertuduhan itu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat pertuduhan berkenaan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Beliau mendakwa, ia berikutan tiada mana-mana satu pun daripada pertuduhan itu mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN