Muhyiddin bebas 4 pertuduhan salah guna kuasa, pertuduhan

Muhyiddin bebas 4 pertuduhan salah guna kuasa, pertuduhan dibatal

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan keputusan tersebut, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas berpuas hati, keempat-empat pertuduhan adalah cacat, tidak berasas dan kabur.

Beliau berpuas hati, pertuduhan yang dihadapinya tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.

Mahkamah berpendapat, jika perbicaraan diteruskan akan menyebabkan Muhyiddin tidak dapat menyediakan pembelaan sewajarnya dan menjadikan pendakwaan terhadapnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 75, didakwa di ibu negara atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik Bersatu.

Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM1 juta daripada syarikat Nepturis Sdn. Bhd. juga bagi milik parti itu.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19.5 juta daripada syarikat Mamfor. Sdn. Bhd. bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12 juta bagi milik partinya daripada Datuk Azman Yusoff.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya