PETALING JAYA: Harga emas meningkat sedikit pada Jumaat apabila pelabur menilai laporan mengenai perjanjian gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap inflasi serta kenaikan kadar faedah AS.
Harga emas spot naik 0.3 peratus kepada AS$4,505.57 (RM17,846.58) seauns setakat 0422 GMT, namun susut kira-kira 0.1 peratus bagi minggu ini setakat ini.
Sementara itu, niaga hadapan emas AS meningkat 0.1 peratus kepada AS$4,535.90 (RM17,984.84).
Logam berharga itu jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua bulan pada Khamis sebelum ditutup lebih tinggi susulan laporan mengenai lanjutan gencatan senjata AS-Iran.
Pengarah Urusan GoldSilver Central, Brian Lan berkata, semalam beliau melihat harga emas turun kepada AS$4,360 dan dijangka terus merosot sehingga pengumuman (gencatan senjata) dibuat, yang kemudian menyebabkan harga berbalik meningkat secara mendadak.
“Itulah keadaan pasaran yang masih berterusan pagi ini.Pasaran kini menunggu perjanjian itu dimeterai walaupun ia hanya menanti tandatangan Trump,” katanya.
Menurut sumber kepada Reuters, AS dan Iran mencapai persetujuan pada Khamis untuk melanjutkan gencatan senjata serta menarik balik sekatan perkapalan di Selat Hormuz, walaupun Presiden AS, Donald Trump, masih belum meluluskannya dan media rasmi Iran melaporkan ia belum dimuktamadkan.
Inflasi AS meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh tiga tahun pada April, didorong kenaikan harga tenaga susulan perang Iran, sekali gus mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedah tanpa perubahan sehingga tahun depan.
Presiden Bank Rizab Persekutuan New York, John Williams berkata, dasar monetari bank pusat kini berada pada tahap yang tepat berdasarkan prospek semasa, sambil menambah beliau menjangkakan inflasi kekal tinggi dalam tempoh terdekat sebelum tekanan itu beransur reda menjelang akhir tahun.
Harga perak spot kekal stabil pada AS$75.61 (RM299.60) seauns manakala, paladium meningkat 0.5 peratus kepada AS$1,375.63 (RM5,454.37) dengan kedua-dua logam dijangka mencatat kenaikan mingguan.
Sementara itu, platinum susut 0.4 peratus kepada AS$1,914.95 (RM7,592.77) dan berada di landasan untuk merekodkan kerugian mingguan.-UTUSAN










