Penjimatan dalam Belanjawan 2027 - Utusan Malaysia

Penjimatan dalam Belanjawan 2027

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) diiringi oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Belanjawan 2027 bakal dibentangkan dengan pelbagai langkah penjimatan melibatkan semua kementerian termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Anwar berkata, impak daripada serangan Israel yang dibantu oleh Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk menyebabkan isu ekonomi kepada dunia termasuk Malaysia.

Katanya, kesan ekonomi yang berlaku tidak boleh diambil sambil lewa atau diremehkan.

“Apabila saya hendak buat keputusan umpamanya kita minta kementerian-kementerian termasuk KPM dan KPT, rayulah macam manapun mesti ada pengurangan belanjawan.

“Mustahil dalam RM20 bilion ini tak boleh dijimatkan. Banyak bidang-bidang boleh dijimatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Perdana Menteri menegaskan bahawa soal mutu dan kemudahan asas pendidikan sama ada di sekolah mahupun universiti tidak akan dikompromi.

“Tetapi soal penumpuan tentang mutu pendidikan, kemudahan asas baik di sekolah atau universiti itu, insya-Allah kita akan teruskan tanpa gangguan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru semua kepemimpinan di setiap kementerian termasuk menteri dan ketua setiausaha memahami situasi semasa kerajaan.

Katanya, kepemimpinan kementerian tidak boleh berfikir secara bersendirian, sebaliknya harus meneliti keadaan secara keseluruhan.

“Dia tidak boleh fikirannya silo (terasing), ini kementerian saya, ini fokus saya, semua penting. Perpaduan, budaya, sukan, sains dan teknologi semua penting, tetapi dalam semua kementerian perlu ada kebijaksanaan serta kefahaman tentang ekonomi mikro dan makro.

“Ini maknanya tidak lihat hanya daripada segi satu sudut (tetapi) lihat daripada keseluruhannya. Semua terkesan kalau ada keperluan semua memerlukan peruntukan tambahan, namun dalam keadaan sekarang semua harus waras dan bijak.

“Perlu tahu masalah, perbaiki, ambil kesempatan dalam lompongan kelemahan-kelemahan ini, perbaiki kurangkan kos yang masa perlu dan dalam pada masa sama tetapkan keutamaan (masing-masing),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN