Minyak peket kurang, peniaga tanggung peningkatan kos

Minyak peket kurang, peniaga tanggung peningkatan kos

TINJAUAN mendapati minyak masak botol penuh di pasaran, manakala minyak masak peket masih sukar diperoleh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekalan minyak masak peket satu kilogram masih sukar diperoleh dalam pasaran, sebaliknya pengguna yang bernasib baik menemukan barangan itu dicatu ketika pembelian.

Akibatnya, golongan peniaga kecil-kecilan perlu menanggung peningkatan kos menyebabkan keuntungan mereka semakin berkurangan.

Seorang peniaga makanan, Anita Akitat, 46, memberitahu, kadangkala dia terpaksa berkunjung ke enam buah kedai sebelum menemukan bekalan minyak masak peket.

“Sekiranya ada sekalipun, satu keluarga hanya dibenarkan membeli sama ada dua atau tiga peket, mengikut premis tertentu. Disebabkan itu saya terpaksa membeli minyak botol untuk kegunaan perniagaan.

“Bila guna minyak botol ini, kos meningkat namun harga jualan makanan kekal sama, bermakna keuntungan dalam perniagaan semakin berkurangan.

“Bayangkan sekiranya berniaga selama seminggu, bekalan minyak masak peket hanya mencukupi untuk sehari setengah sahaja, bermakna hari-hari lain terpaksa guna minyak masak botol,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sehubungan itu, Anita yang sudah berniaga selama kira-kira 10 tahun itu berharap pihak berkuasa dapat memastikan bekalan minyak masak peket kembali mudah diperoleh.

Seorang lagi peniaga gerai sarapan pagi, Roslan Adan, 60, pula memberitahu, dia terpaksa menggunakan sehingga dua botol minyak masak seberat 5 kilogram setiap hari.

Katanya, antara menu utama yang dijual adalah roti canai yang diketahui banyak menggunakan minyak masak.

“Memang susah hendak jumpa minyak masak peket sekarang, kalau jumpa pun cuma dapat beberapa peket sahaja tetapi jumlah itu tidak mencukupi untuk kegunaan harian.

“Jadi saya tidak mempunyai pilihan selain daripada terpaksa membeli minyak botol untuk dibuat berniaga, walaupun keuntungan kurang tetapi apakan daya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa premis perniagaan seperti kedai runcit dan pasar raya sekitar bandar raya ini mendapati hanya terdapat bekalan minyak botol.

Manakala tinjauan di sebuah pasar raya di pusat bandar raya ini pula mendapati pengguna dihadkan pembelian sebanyak dua peket buat setiap keluarga.

Namun bekalan minyak botol pelbagai saiz penuh di rak mudah diperoleh dan tiada sebarang had pembelian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN