TEHERAN: Iran mengerahkan kapal selam kecil untuk bertindak sebagai ‘penjaga halimunan’ di Selat Hormuz, ketika beberapa rundingan damai antara Teheran dan Amerika Syarikat (AS) ditolak.
Menurut Institut Antarabangsa untuk Kajian Strategik, Republik Islam itu memiliki sekurang-kurangnya 16 kapal selam mini kelas Ghadir.
Setiap satu mempunyai anak kapal kurang daripada 10 orang dan membawa sama ada dua torpedo atau peluru berpandu jelajah anti kapal C-704 buatan China.
Namun, sumber yang mengetahui perkara itu berkata, kapal selam tersebut lebih bising berbanding kebanyakan kapal selam moden.
Sumber sama turut mendakwa, anak kapal mempunyai pengalaman terhad, selain kapal-kapal itu dilaporkan berdepan isu penyelenggaraan.
Iran dilaporkan menutup secara berkesan Selat Hormuz, sebuah laluan perairan strategik yang sebelum ini digunakan untuk mengangkut kira-kira 20 peratus minyak dan gas asli cecair dunia, sejak AS dan Israel mula melancarkan serangan pada 28 Februari.
Keputusan Teheran untuk mengerahkan kapal selam mini itu, yang dilaporkan oleh agensi berita separa rasmi Tasnim, dibuat ketika Presiden AS, Donald Trump memberitahu Fox News beliau sedang mempertimbangkan untuk menghidupkan semula rancangan menggunakan tentera AS bagi mengiringi kapal-kapal dagang.
Teheran sebelum ini berjaya mengawal Selat Hormuz sebahagian besarnya melalui penggunaan, atau sekadar ancaman, peluru berpandu dan dron kos rendah, serta kapal selam mini tersebut dijangka memainkan peranan yang sama.
Namun, terdapat cabaran dari segi geografi dalam penggunaannya. Selat Hormuz hanya mempunyai kedalaman sekitar 100 meter pada tahap maksimum, manakala Teluk Parsi tidak jauh lebih dalam.
Keadaan ini menyukarkan kapal selam untuk bersembunyi, walaupun ketika tidak bergerak, kerana sonar aktif masih mampu mengesan objek yang tidak semula jadi.
Menurut Tasnim, yang bersekutu dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), kapal selam Ghadir ‘direka khas’ untuk laluan perairan tersebut dan kedalaman yang cetek.
Setakat ini, tiada kapal selam Iran dilaporkan muncul dalam pertempuran sepanjang perang, dan satu-satunya kapal selam bersaiz penuh yang beroperasi milik Iran, sebuah kapal kelas Kilo era Soviet, karam di jeti tempat ia berlabuh.
Kapal selam Ghadir jauh lebih kecil, dengan anjakan hanya sekitar 115 tan air, iaitu ukuran standard bagi kapal selam.
Sementara kapal kelas Kilo mempunyai anjakan lebih daripada 2,000 tan, manakala kapal selam serangan kelas Los Angeles milik ASyang berkuasa nuklear mempunyai anjakan lebih daripada 6,000 tan.- BLOOMBERG









