KL Sentral bakal dibangunkan semula

KL Sentral bakal dibangunkan semula

ANTHONY Loke pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini bersetuju supaya Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) dibangunkan semula bagi meningkatkan kapasiti sedia ada yang kini melebihi 200,000 penumpang sehari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Jemaah Menteri memutuskan proses pembangunan semula dan menaik taraf stesen itu akan diserahkan kepada pemaju asal hub pengangkutan itu, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Beliau berkata, ia akan dilaksanakan menerusi pembiayaan swasta oleh MRCB tanpa sebarang kos daripada pihak kerajaan.

“Projek itu bernilai RM1 bilion dan sebagai balasan, MRCB dibenar membina projek komersial termasuk kediaman di atas stesen itu.

“Proses pembinaan semula stesen itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan operasi di hab pengangkutan awam itu dan tidak akan berlaku pemindahan stesen,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, proses naik taraf stesen itu penting kerana stesen itu sudah melebihi kapasiti sebenar sekitar 100,000 penumpang.

Loke berkata, projek itu membabitkan belanja yang besar, namun pembinaannya masih tertakluk kepada syarat diletakkan kerajaan dan kementerian berkaitan.

Menurutnya, stesen itu perlu dibina semula kerana ia terletak di kedudukan sensitif dan menjadi tumpuan ramai.

“Kami memberi masa dua tahun kepada MRCB dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk perbincangan lanjut sebelum pembinaan dapat dimulakan.

“Jika ia (perbincangan) dapat diselesaikan awal, maka pembinaan semula itu akan dipercepatkan. Kita harap hasil perbincangan itu dapat dimuktamadkan dalam masa setahun,” katanya.

Katanya, kerajaan turut meletakkan syarat supaya projek bina semula stesen itu disiapkan terlebih dahulu sebelum projek komersial lain dimulakan.

Jelasnya lagi, MRCB dipilih kerana syarikat itu adalah pemaju asal stesen itu, malah ia turut dimiliki kerajaan menerusi pegangan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN