KUALA LUMPUR: Kakitangan Kementerian Pengangkutan akan berkongsi kereta dan menggunakan penerbangan kelas ekonomi sebagai langkah berjimat cermat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah secara sukarela itu merupakan antara usaha warga kementerian selaras dengan arahan kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan operasi.
“Memang bukan semalam sahaja, tetapi apabila krisis ini mula berlaku, Kabinet telah memutus dan mengarahkan semua kementerian mengambil langkah berjimat cermat. Jadi, sudah tentu kos utiliti dan kos pengangkutan kita kawal dengan rapi.
“Termasuk penganjuran program, kita perlu berbelanja secara berhemah tanpa perbelanjaan besar. Dari segi majlis, lawatan ke luar negara juga telah dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Pembaca edisi Bahasa Inggeris Xi Jinping: The Governance of China, Jilid V, hari ini.
Menurut Anthony Loke, pegawai MoT juga secara sukarela mengamalkan perkongsian kenderaan serta menggunakan penerbangan kelas ekonomi dalam urusan rasmi sebagai langkah menjimatkan kos operasi.
“Semua ini kita lakukan untuk menjimatkan perbelanjaan operasi. Ia perlu dilaksanakan oleh semua kementerian bagi memastikan hasrat kerajaan dapat direalisasikan,” katanya.
Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan mengesahkan bahawa panduan telah dikeluarkan kepada kementerian, jabatan dan agensi untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus selaras dengan cabaran krisis bekalan global serta peningkatan tanggungan subsidi.
Menurut MOF, langkah itu merupakan sebahagian pendekatan pengurusan fiskal berhemah bagi mengoptimumkan sumber kerajaan supaya sokongan kepada rakyat dapat diteruskan secara berkesan. – UTUSAN










