'Hala tuju perjuangan DAP ditentukan pada konvensyen Julai depan'

‘Hala tuju perjuangan DAP ditentukan pada konvensyen Julai depan’

ANTHONY Loke Siew Fook ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun DAP ke-60 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Hala tuju perjuangan DAP termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan ditentukan pada konvensyen kebangsaan parti itu yang dijadual berlangsung Julai depan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, konvensyen tersebut akan menjadi titik yang sangat penting buat parti berkenaan dalam menilai serta berbincang mengenai hala tuju yang dipilih nanti.

“Apa yang berlaku dalam Kerajaan Persekutuan hari ini iaitu yang perlu kita tangani bukan sekadar isu negara, tetapi isu yang memberi kesan global susulan perang yang berlaku di Asia Barat.

“Kita (DAP) kini sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan. Jadi, sudah tentu kita perlu menghadapi cabaran ini bersama dan kita juga mahu semua ahli berani untuk mengatasi segala cabaran.

“Dulu pun kita tak ada kuasa, tidak ada sumber (kewangan), tetapi, kita masih mampu bertahan sehingga ke hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun DAP ke-60 yang turut dihadiri oleh hampir kesemua pimpinan DAP peringkat kebangsaan dan negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, Anthony berkata, Pulau Pinang yang menjadi satu-satunya negeri yang ditadbir oleh DAP sejak 2008 perlu terus menjadi contoh kepada pentadbiran negara ketika ini.

Justeru katanya, kerajaan DAP di negeri itu khususnya perlu membuktikan apa yang DAP perjuangkan selama ini iaitu sebuah masyarakat yang berbilang kaum, progresif serta inklusif.

Beliau berkata, sejak 2008 juga, DAP telah membawa perubahan yang besar kepada negeri itu termasuk beberapa projek mega seperti sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang yang kini sedang dalam pembinaan serta perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.

“Oleh itu, penyelarasan kukuh antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang amat penting dalam hal ini bagi memastikan kedua-dua projek disiapkan mengikut jadual serta mencapai impak yang dihasratkan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN