KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa tidak bersetuju dengan penubuhan kerajaan baharu atau ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, sekali gus menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan ADUN Sikamat itu kekal berfungsi seperti biasa.
Beliau berkata, setakat ini, tiada perkembangan terkini dan keadaan berjalan seperti biasa seperti yang ditegaskan.
“Semalam juga dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO telah mengeluarkan kenyataan bahawa walaupun dikatakan 14 ADUN itu hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, tetapi masih menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Jadi saya lihat itu pendirian UMNO. Malah dalam mesyuarat Kabinet semalam, Presiden UMNO sendiri telah menyatakan pendirian yang sama kepada Kabinet. Maksudnya, Presiden UMNO juga tidak bersetuju dengan penubuhan kerajaan baharu atau ‘tebuk atap’.
“Jadi maksudnya kerajaan sedia ada ini kekal sebagai Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kelangsungan pentadbiran negeri. Saya rasa itu dapat diperjelaskan dan membantu meredakan keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Pembaca edisi Bahasa Inggeris Xi Jinping: The Governance of China, Jilid V, hari ini.
Mengulas mengenai kemelut berkaitan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, Anthony Loke berkata, beliau tidak akan mencampuri urusan berkenaan.
“Kita tahu ada isu yang belum selesai antara institusi Yang di-Pertuan Besar dengan Datuk Undang. Itu di luar kawalan kita dan perlu diselesaikan dalam institusi tersebut.
“Kita tidak boleh campur. Bagi kerajaan, yang penting adalah memastikan pentadbiran berjalan seperti biasa. Menteri Besar, Exco dan ADUN berfungsi serta bekerja seperti biasa bagi menjamin kestabilan,” katanya. – UTUSAN










