KKM siasat dakwaan Hospital Tuaran gagal beri rawatan tepat kepada pesakit   - Utusan Malaysia

KKM siasat dakwaan Hospital Tuaran gagal beri rawatan tepat kepada pesakit  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat siasatan terperinci mengenai dakwaan kegagalan Hospital Tuaran, Sabah memberikan rawatan yang tepat kepada seorang pesakit sehingga meninggal dunia seperti yang tular di media sosial minggu lalu.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, KKM sentiasa memandang serius terhadap apa sahaja aduan yang diterima daripada masyarakat berhubung perkhidmatan kesihatan awam di negara ini.

Menurutnya, dakwaan itu akan disiasat dahulu kesahihannya dan KKM juga akan bertemu dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) serta keluarga mangsa yang terlibat.

“Kita akan lihat secara teliti adakah dakwaan itu benar. Kita tidak boleh tolak tepi perkara ini sebab sudah ada aduan daripada keluarga mangsa.

“KKM akan bertemu JKNS dan keluarga mangsa, seterusnya memberi kenyataan dari masa ke semasa tentang apa sebenarnya yang berlaku.

“Kita akan lihat secara terperinci apakah sebenarnya yang terjadi pada hari kejadian (untuk mengambil tindakan lanjut),” katanya kepada pemberita selepas menemani kempen calon Pakatan Harapan untuk Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail di Bukit Kecil, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang tular di media sosial berhubung seorang pesakit yang dibenarkan pulang selepas dikatakan tidak mengalami masalah kesihatan yang serius oleh hospital berkenaan, namun dilaporkan meninggal dunia selepas itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau yang melawat keluarga arwah pesakit tersebut memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa pihak hospital mendapati tiada masalah serius dan membenarkan pesakit itu pulang selepas menjalani pemeriksaan.

Katanya, sebelum itu, arwah pesakit terbabit dibawa ke Hospital Tuaran yang terletak berdekatan dengan rumahnya selepas mengalami rasa sakit akibat terjatuh.

Pada perkembangan lain, Zaliha berkata, semua jentera parti politik yang sedang berkempen ketika ini digalakkan agar segera membuat saringan Covid-19 sekiranya mempunyai gejala berkaitan.

“Ini penting sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19, jentera parti yang berkempen juga digalakkan terus mengamalkan kebersihan sepanjang mengadakan aktiviti yang melibatkan orang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya