TENOM: Analisis forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengeluarkan sebarang mesej perbualan berunsur seksual daripada telefon bimbit saksi ketiga, Firdaus Wong Wai Hung.
Daripada 118,032 item yang berada dalam telefon jenama Iphone XS Max milik saksi ketiga, hanya lapan gambar lucah sahaja yang dikeluarkan.
Saksi ketujuh, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz semasa pemeriksaan balas memberitahu peguam Ram Singh, daripada 118, 032 item dalam telefon Iphone XS Max, beliau hanya mengeluarkan lapan gambar itu sahaja.
Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video PDRM itu berkata, beliau tidak mengekstrak sebarang mesej perbualan daripada telefon Iphone XS Max tersebut.
“Saya menjalankan analisis barang kes (Iphone XS Max) secara keseluruhan menggunakan perisian di makmal forensik. Data yang dikeluarkan secara keseluruhan akan dianalisis untuk mendapatkan data yang berkaitan dengan permohonan pegawai penyiasat seperti dalam borang MF-01.
“Saya menjalankan analisis dan pemeriksaan secara menyeluruh dan tidak hanya memberi fokus terhadap 118,032 item itu sahaja,” katanya.
Menurutnya, selepas mengeluarkan semua data daripada Iphone XS Max, beliau mendapati kumpulan perbualan Whatsapp itu tiada dalam aplikasi Whatsapp telefon berkenaan.
Dalam pada itu, saksi memberitahu mahkamah, beliau tidak meneliti setiap gambar tangkap layar daripada telefon pengadu, Samsung Galaxy A31 untuk mengetahui 410 daripada 436 gambar tangkap layar yang diekstrak adalah gambar mesej perbualan antara pengadu dan Ebit Lew.
Saksi bersetuju dengan cadangan Ram Singh bahawa pemilihan 436 gambar tangkap layar yang dibuat berkemungkinan mengandungi maklumat dan data yang mempunysai unsur seksual.
Walau bagaimanapun, saksi tidak bersetuju dengan pandangan peguam yang menyatakan perbuatan saksi tidak mendapatkan semula data yang telah dipadam memberi kesukaran untuk mengetahui keseluruhan kandungan perbualan antara pengadu dan Ebit.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021. Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dilakukan dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Nor Azizah Mohamad manakala, Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.-UTUSAN










