KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan kumpulan yang berpendapatan sederhana atau M40, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, beliau sedar ada beberapa pihak yang menegur perkara itu susulan pendekatan kerajaan lebih tertumpu kepada golongan B40.
“Beberapa langkah telah kita ambil tetapi andaian beri lebih kepada B40 itu tidak betul.
“Sebagai contoh tengok semua sekolah menengah sains atau Maktab Rendah Sains Malaysia (MRSM) termasuk Kolej Melayu dan lain-lain, manfaatnya kepada golongan paling miskin itu sangat kecil…tidak sampai satu atau dua peratus.
“Sebab itu saya usulkan kepada Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) baru-baru ini menyatakan bahawa sama ada sekolah khas dicadangkan atau tidak pun mesti diperuntukan satu hingga lima peratus sahaja bagi yang benar-benar miskin. Kalau tidak kesenjangan itu akan terus berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKaD di Sasana Kijang, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sistem meritokrasi dalam pendidikan hanya berkepentingan kepada golongan elit dan mampu sahaja.
Biarpun meritokrasi itu penting, tetapi beliau berkata, ia tidak boleh menjadi satu-satunya kriteria dalam pengurusan dan tatakelola negara yang adil.
“Kalau mahu bincang meritokrasi antara sekolah terbaik di Kuala Lumpur dengan sekolah di Kapit Sarawak, itu maknanya menggagaskan satu formula yang tidak menekankan keadilan.
“Ada satu pihak cakap meritokrasi dan ada satu pihak cakap hanya kuota (bumiputera)…Saya fikir kedua-duanya harus digabungkan, jadi mesti ada juga meritokrasi kalau tidak, kita tidak akan angkat yang terbaik dalam kalangan kita,” katanya. – UTUSAN










