Keputusan PRN beri amaran kepada kerajaan perpaduan

Keputusan PRN beri amaran kepada kerajaan perpaduan

SYAHRUDDIN AG. AHMAD dan ROMZI ATIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keputusan pilihan raya (PRN) di enam negeri adalah satu ‘wake up call’ kepada kerajaan perpaduan untuk tidak berlengah dalam menunaikan janji kepada rakyat.

Peralihan sokongan pengundi kepada pembangkang menunjukkan rakyat khususnya pengundi melayu mula menolak UMNO.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Kanan UMS, Dr Romzi Ationg berkata, rakyat semakin celik politik maka, mereka tidak lagi mudah digula-gulakan dengan janji yang tidak ditunaikan.

“Keputusan PRN itu seperti yang telah dijangka. Pengundi melihat UMNO bukan lagi parti yang mereka boleh harapkan utk memperjuangkan nasib mereka. Walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi beberapa kerusi namun, ia disebakan faktor calon.

“Keputusan pilihan raya itu memberi gambaran kepada aspirasi rakyat yang menolak sebarang kepincangan dalam pentadbiran negara dan parti tertentu, khususnya dlm aspek pelaksanaan aku janji semasa kempen pilihan raya,” katanya.

Turut berkongsi pandangan sama adalah rakan sejawatnya, Pensyarah Kanan UMS, Dr. Syahruddin Ag. Ahmad yang melihat keputusan PRN itu sebagai amaran kepada kerajaan perpaduan untuk merangka strategi dan taktik baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Beliau berkata, keputusan PRN itu menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan PH-BN tidak begitu popular dan mungkin rakyat tidak begitu yakin bahawa kerajaan perpaduan ini sesuai diberikan mandat.

Pertambahan kerusi pembangkang di ketiga-tiga negeri yang didominasi oleh kerajaan PH-BN menunjukkan bahawa tahap kepercayaan akar umbi di peringkat negeri boleh menjejaskan peluang ahli Parlimen PH-BN untuk kekal mempertahankan kerusi mereka dalam PRU akan datang.

Justeru, ‘post mortem’ yang telus dan tindakan yang drastik di peringkat dalaman parti khususnya Barisan Nasional (BN) wajib dirangka dan dilaksanakan segera. Ia penting untuk mengembalikan kepercayaan dan menjernihkan semula hubungan parti-parti komponen BN seperti MIC dan MCA terhadap UMNO.

“Peningkatan sokongan terhadap boleh disifatkan pengundi melayu yang dulu menyokong UMNO mahu menyampaikan mesej tersurat bahawa mereka tidak setuju dengan penyertaan UMNO bersama DAP dalam membentuk kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

“Isu membabitkan 3R (agama, raja dan kaum) yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan juga menyebabkan pengundi melayu-Islam terkilan kerana mereka mengharapkan UMNO menjadi benteng bagi mempertahankan hak dan keistimewaan bangsa melayu dan agama Islam,” katanya.

Malah katanya, pemecatan dan penggantungan keahlian ramai warlord dalam kalangan pemimpin-pemimpin berpengalaman dalam UMNO turut menyebabkan penyokong pemimpin UMNO itu memilih calon lawan sebagai protes kepada tindakan kepimpinan parti tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN