KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 13 Oktober ini untuk keputusan kes saman kerajaan terhadap National Feedlot Corporation (NFC) bagi mendapatkan semula RM253.6 juta pembayaran pinjaman dan faedah daripada syarikat itu berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
Hakim Anand Ponnudurai menetapkan tarikh itu selepas mendengar klarifikasi kes saman tersebut daripada kedua-dua pihak hari ini.
Dalam prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Asliza Ali mewakili kerajaan selaku plaintif manakala peguam Datuk K. Kirubakaran mewakili defendan-defendan.
Dalam saman itu, plaintif menamakan NFCorp sebagai defendan pertama, manakala Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang merupakan suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai defendan.
Turut dinamakan sebagai defendan, tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing sebagai defendan kedua hingga kelima.
Defendan lain ialah enam syarikat dikawal keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.
Perbicaraan itu bermula 2021, plaintif mengemukakan tujuh saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Pembendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir manakala defendan memanggil lima saksi termasuk Mohamad Salleh untuk memberi keterangan.
Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi NFC Gemas selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.
Pinjaman itu disalurkan kerajaan kepada NFCorp dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.
Sebelum ini, dalam perbicaraan pada November tahun lalu, Mohamad Salleh memberitahu bahawa beliau dan syarikatnya mengalami kerugian dan bukan kerajaan akibat kegagalan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
Mohamad Salleh, 74, berkata ini kerana wang NFCorp telah dirampas dan kerajaan menggantungkan projek tersebut.
Akibat kerugian itu telah menyebabkan pihaknya juga memfailkan tuntutan balas dengan menuntut ganti rugi RM86.25 juta daripada kerajaan. -UTUSAN










