Kemasukan murid prasekolah, menengah naik, elak keciciran - Utusan Malaysia

Kemasukan murid prasekolah, menengah naik, elak keciciran

Murid
FADHLINA Sidek berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM 2013-2025 di Shah Alam Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kadar kemasukan murid daripada peringkat prasekolah hingga menengah atas di seluruh negara mencatatkan peningkatan positif dengan kadar akses terhadap pendidikan dicatatkan mencecah 98.3 peratus.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, data itu meliputi empat peringkat murid iaitu menengah atas, menengah rendah, rendah dan prasekolah.

Malah data bagi peringkat usia empat dan lima tahun ke atas menunjukkan peningkatan enrolmen berbanding tahun 2021.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu keciciran murid terus diberikan penekanan tahun lalu bagi memastikan semua anak Malaysia tidak ketinggalan dan mendapat kesaksamaan dalam pendidikan.

“KPM akan terus memantau dan melakukan intervensi supaya murid terutama di kawasan pedalaman kekal bersekolah sehingga tamat tingkatan lima.

“Sekolah Model Khas Komprehensif juga antara inisiatif menangani isu keciciran murid yang diharap mencapai sasaran sifar pada satu masa nanti,” katanya pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM, hari ini.

Beliau menambah, KPM turut prihatin memastikan peluang pendidikan berkualiti bagi semua murid tanpa mengira tahap kebolehupayaan, latar belakang sosio ekonomi dan jantina.

“Dalam tempoh lapan bulan menjadi menteri, saya sudah menelusuri seluruh negara bagi memastikan tiada anak-anak keciciran dalam pendidikan yang perlu terus diutamakan.

“Banyak lagi kelemahan boleh diperbaiki tetapi ia bukan boleh dilakukan semalaman dengan ‘tongkat ajaib’ bagi membina kejayaan yang lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, laporan berkenaan menunjukkan peningkatan 13 peratus purata merentas literasi Bacaan, Matematik dan Sains dari 2012 hingga tahun 2018 manakala enam peratus bagi purata literasi Matematik dan Sains dari 2011 hingga 2018.

Pengurangan 29.5 peratus jurang pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bandar dan luar bandar turut dicatatkan menerusi PPPM tersebut 

Selain itu, Pencapaian Indeks Perpaduan dalam Pendidikan mencatatkan 7.1 peratus tahun lalu berbanding 6.8 peratus pada tahun 2014.

Sebanyak 644 daripada 879 sekolah daif juga selesai dinaik taraf manakala 10,028 sekolah dan pejabat pendidikan mempunyai capaian internet melalui perkhidmatan internet interim.

Justeru, KPM akan melakukan anjakan perubahan antaranya dengan mewujudkan pelbagai sekolah bagi memastikan tiada murid terpinggir selain pelaksanaan Garis Panduan Murid Berisiko Cicir, Ziarah Cakna, Dasar Penolakan Sifar dan transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)

Ia turut meliputi penandaarasan kurikulum dengan negara maju bagi melahirkan murid berkemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan merangka pembangunan Standard Bahasa Melayu.

Selain itu, anjakan meliputi Program Transformasi Orang Asli dan Peribumi, Pemetaan Kerangka Pendidikan Karakter dengan kurikulum dan Penambahbaikan Program Khidmat Masyarakat untuk Menengah Atas

Penetapan garis asas infrastruktur sekolah Dasar Pendidikan Digital juga akan difokuskan selain pemberian autonomi kewangan kepada sekolah terpilih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya