HULU SELANGOR: Pakatan Harapan (PH) menegaskan tidak pernah mengarahkan jentera menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu walaupun Kerajaan Perpaduan itu dikatakan ditubuh atas titah baginda.
Pengarah Kempen PH PRK Kuala Kubu Baharu, Ng Sze Han berkata, tindakan tersebut tidak seharusnya berlaku dan bertentangan dengan peraturan dalam pilihan raya.
“Sebagai pengarah kempen, saya ingin menegaskan kami tidak pernah mengarah atau membenarkan tindakan tersebut kepada mana-mana petugas PH.
“Tindakan menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan tidak harus berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Exco Perdagangan dan Mobliti Selangor itu, beliau mengambil maklum tentang siasatan yang dijalankan oleh polis dan bersedia memberi kerjasama.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan P. Ramasamy, 66, dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama logo PH pada kenderaan miliknya.
Lelaki warga emas itu dikesan berada di Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu pada pukul 5.40 petang kelmarin sebelum ditahan polis dan kereta pacuan empat roda jenis Mazda miliknya disita.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dalam kenyataannya semalam menasihati parti-parti politik tidak memainkan isu sensitif dengan mengeluarkan, mempamerkan dan menyentuh isu institusi diraja, bangsa dan agama (3R).
Menurutnya, tindakan tersebut akan mewujudkan keadaan tidak harmoni dan ketidaktenteraman dalam masyarakat. – UTUSAN










