PRK Kuala Kubu Baharu: MB titip pesanan dalam pecutan akhir kempen - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: MB titip pesanan dalam pecutan akhir kempen

MB kempen
BORHAN Aman Shah ditemui pemberita Majlis Rewang dan Ramah Mesra Komuniti Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, Selangor. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor memberi arahan tertentu kepada barisan exco kerajaan negeri untuk memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada minggu akhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah berkata, kepemimpinan negeri sudah menerima arahan tersebut yang merupakan strategi untuk membantu calon, Pang Sock Tao menjelang tarikh hari pengundian pada 11 Mei.

“Ada arahan tertentu, itu kita akan maklumkan nanti, strategi kita. Jadi, arahan-arahan beliau kita akan ikuti dan kita pasti pecutan terakhir ini kita mempunyai strategi yang dapat memastikan kemenangan kepada calon kita, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita, malam tadi.

Tambahnya, Sock Tao diyakini akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu selepas melihat kerjasama dan hubungan baik dalam kalangan parti komponen.

“Alhamdulillah, kita lihat pada saat-saat terakhir ini nampak chemistry di antara Kerajaan Perpaduan begitu menonjol sekali.

“Khususnya PRK ini kita nampak kepentingan dan kita semak balik apa kelemahan di negeri, apa yang boleh diperbaiki dan kita nampak ia memberi impak baik kepada pengundi-pengundi di Kuala Kubu Baharu. Jadi saya rasa, kita berkeyakinan sangat yang kita akan menang PRK ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas pengundian awal yang akan berlangsung esok, Borhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat merayu undian diberikan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Saya ingin berpesan kepada pengundi awal, berilah sokongan kepada calon kita di bawah Kerajaan Perpaduan, kerana kita lihat Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pun memberi beberapa insentif, kenaikan gaji dan sebagainya.

“Itu menunjukkan kerajaan prihatin kepada penjawat awam khususnya, jadi pengundi awal sememangnya penjawat awam dan petugas-petugas, jadi saya merayu berilah sokongan serta mengundi bagi memastikan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang menyeru supaya jentera pilihan raya tidak memandang mudah terhadap pengundi atas pagar bagi memastikan sokongan daripada mereka diperoleh.

“Pengundi atas pagar, antara paling penting untuk berjumpa dengan lebih ramai pengundi atas pagar terutamanya, memang saya nampak pasukan kempen memberikan tumpuan cukup penting untuk berjumpa dengan pengundi atas pagar,” katanya.

Dalam PRK Kuala Kubu Bharu, PH mempertaruhkan, Pang Sock Tao dalam saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

Seramai 40,226 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini untuk mengundi, sementara pengundi awal, 763 orang pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN